Syarikat gergasi swasta mahu ‘belanja’ rakyat Malaysia tengok E

Syarikat gergasi swasta mahu ‘belanja’ rakyat Malaysia tengok Euro 2024

EURO 2024 akan berlangsung di Jerman pada Jun ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan saingan Euro 2024 secara percuma selepas beberapa syarikat gergasi Malaysia berminat untuk membida hak penyiaran menerusi tayangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut sumber, surat tunjuk minat akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Komunikasi serta pihak RTM mengenai hasrat berkenaan, sekali gus memberi khabar gembira buat peminat bola sepak tempatan

“Beberapa syarikat swasta telah menunjukkan minat yang ingin mengambil tajaan untuk Euro 2024, supaya RTM boleh beri kepada rakyat Malaysia menonton secara percuma daripada berbayar.

“Menaja dan beli siaran ini yang sudah tentunya bukan murah. Ia sebenarnya dapat menjimatkan perbelanjaan pihak kerajaan kerana selepas ini difahamkan Sukan Olimpik juga menelan kos yang tinggi bagi mendapatkan hak siaran langsung.

“Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Malaysia yang dalam kelompok B-40 boleh menikmati siaran percuma Euro di RTM sekali gus menyemarakkan bahang Euro kali ini,” kata sumber itu.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro 2024 namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara tersebut.

Beliau mengakui kejohanan itu mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Dalam masa sama, sumber itu menjelaskan bahawa tajaan itu cukup besar dan kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang dana untuk mendapatkan hak penyiaran berkenaan.

“Syarikat gergasi Lembah Klang itu beri jaminan akan menampung kesemua kos dan bayaran hak penyiaran. Pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan langsung duit untuk mendapatkannya. 

“Dana berkenaan boleh digunakan untuk tujuan pembangunan yang lain atau mendapatkan hak siaran Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tidak lama lagi. 

“Saya percaya rakyat pastinya gembira dapat mengisi hari-hari sepanjang bulan Jun hingga Julai ini dengan menonton Euro 2024 secara percuma di saluran RTM,” katanya. 

Saingan Euro 2024 bakal berlangsung sengit dengan melibatkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali.

Sebanyak 42 aksi di peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN