Speedy Tigers diikat Pakistan 4-4

Speedy Tigers diikat Pakistan 4-4

AZRAI Azad Abu Kamal meraikan jaringan gol kedua skuad kebangsaan pada aksi pertama Kumpulan B, Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland, hari ini. - FOTO IHSAN FIH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan gagal merekodkan kemenangan pertama selepas terikat 4-4 dengan Pakistan pada aksi pembukaan kumpulan B Piala Negara-Negara di Poland, sebentar tadi.

Skuad Speedy Tigers seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila kelekaan pada suku keempat membolehkan Pakistan mengambil peluang untuk bangkit daripada ketinggalan 1-4.

Malaysia bermula cemerlang selepas Fitri Saari menjaringkan gol pembukaan menerusi penalti strok pada minit keempat.

Enggan memberi muka, Speedy Tigers kemudian meledak gol menerusi Azrai Azad Abu Kamal hasil gol padang minit ketujuh.

Tonggak utama Speedy Tigers, Faizal Saari yang pulih daripada kecederaan ringannya turut meletakkan nama selaku penjaring minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti.

Pada Suku ketiga menyaksikan Pakistan berjaya merapatkan jurang selepas Rehman Abdul menjaringkan gol pada minit-32.

Fitri berhasil menceriakan kem kebangsaan dengan jaringan keempat selepas turut mengulangi gol yang sama pada minit ke-42 permainan.

Speedy Tigers selesa mendahului 4-1 namun skuad kendalian Roelant Oltmans enggan mengaku kalah selepas Sufyan Khan meledak gol seminit selepas Fitri menyudahkan penalti strok.

Barisan pertahanan negara kian goyah apabila Shahid Hannan berhasil menjaringkan gol padang minit ke-52 permainan.

Berbaki lapan minit permainan, Pakistan menyerang secara bertubi-tubi dan berhasil menyamakan kedudukan selepas Mahmood Abu menjaringkan gol minit ke-60 untuk menutup aksi perlawanan hari ini.

Senario perlawanan hari hampir sama dengan aksi Piala Sultan Azlan Shah 2024 awal bulan lalu yang mana Malaysia tewas 4-5 kepada Pakistan.

Speedy Tigers bakal berdepan Perancis pada aksi kedua kumpulan B yang dijadualkan pada Ahad ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×