PETALING JAYA: Pencapaian skuad badminton lelaki negara pada edisi Piala Thomas kali ini wajar diberi pujian kerana mara ke separuh akhir dan tunduk 1-3 kepada pilihan pertama, China bukanlah satu keputusan yang buruk.
Namun, impian untuk menyaksikan Malaysia merangkul Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun tidak kesampaian dengan sebuah pasukan yang ‘tidak’ sempurna jika dibandingkan kuasa besar badminton lain yang memiliki barisan pemain lebih ampuh.
Bagaimanapun disebalik kekalahan Malaysia kepada tuan rumah di Chengdu, China, kelmarin, masih ada khabar gembira buat peminat badminton tanah air apabila melihat kepada prestasi baik yang dipamerkan beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kelmarin, mereka menumbangkan gandingan No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam pertarungan sengit 15-21, 21-12, 21-17 yang juga merupakan satu-satunya mata diraih Malaysia pada perlawanan tersebut.
Aaron ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir berkata, China merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mereka memiliki kelebihan daripada segenap segi berbanding Malaysia.
“Kami cuma memastikan masuk ke dalam gelanggang untuk menikmati permainan kami.
“Kunci kejayaan kami ialah komunikasi yang baik dengan pasangan untuk memikirkan bersama apa yang kami perlu lakukan,” katanya.
Anak jati Melaka itu memberitahu, perbincangan dengan Wooi Yik bagaimana untuk melakukan pukulan dan menyempurnakan serta menerima servis menjadi titik tolak kepada kejayaan mereka.
Wooi Yik pula berpendapat, antara ilmu yang mereka pelajari berdepan beregu handalan China itu ialah penting bersikap tenang dan bijak mencari peluang dengan pukulan yang mampu menjelmakan mata.
“Amat penting untuk kami bermain dalam suasana yang selesa dan cuba berkomunikasi dengan lebih baik bersama pasangan,” ujarnya yang turut mengakui tumpas kepada beregu No. 6 dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di suku akhir memberi tamparan hebat kepada mereka.
Baik Aaron mahupun Wooi Yik, mereka masih mempunyai masa dan ruang untuk mencari kesempurnaan dalam permainan mereka menjelang Sukan Olimpik di Paris.
Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang diadakan di Axiata Arena pada 21-26 Mei ini mungkin boleh dijadikan sebagai gelanggang medan penebus kecewa dan sekaligus, merangkul gelaran sulung di tanah air sendiri dalam siri Jelajah Dunia.-UTUSAN










