NSFC tidak gentar lawan JDT

NSFC tidak gentar lawan JDT

AZZMI Ab. Aziz ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengenalan Pemain NSFC Musim 2024/2025 di Nilai, Seremban baru-baru ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) mahu para pemainnya melupakan jurang antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertembungan sulung Liga Super antara kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), petang ini.

Ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab. Aziz berkata, meskipun di atas kertas, pasukannya mungkin berdepan kesukaran menyaingi barisan yang mendapat julukan sebagai Harimau Selatan itu, namun beliau tetap percaya kepada sebarang kemungkinan.

Katanya, semua pemain telah diterapkan dengan kesedaran bahawa mereka berdepan tanggung jawab berat apabila berdepan juara bertahan itu.

“Saya gembira kerana mereka mengambil pendirian yang positif dan tidak terlalu memikirkan mengenai kelebihan dan kemampuan lawan.Saya harap pendirian ini akan dapat diterjemahkan di atas padang kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang dilantik sebagai jurulatih baharu NSFC mulai Mac lalu berkata, sejak beberapa minggu lalu, pasukannya telah melakar strategi dan mencuba formasi tertentu menjelang pertemuan dengan JDT.

Menurutnya, beliau sudah mempunyai senarai kesebelasan utama yang diturunkan dalam perlawanan itu yang dipilih berdasarkan prestasi ditunjukkan semasa sesi latihan.

“Para pemain juga telah menunjukkan keserasian antara mereka dalam sesi latihan termasuk dalam kalangan pemain import. Kami berharap para peminat bola sepak negeri ini akan terus sokongan padu sepanjang Liga Malaysia musim ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN