KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menyasarkan kutipan tiket sebanyak RM3.8 juta bagi semua perlawanan Liga Malaysia (Liga) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas, berkata, sasaran kutipan itu meliputi 12 perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sekaligus mengharapkan sokongan padu penyokong skuad Penyu.
Selain itu beliau berkata, penyertaan TFC dalam Kejuaraan Kelab Asean atau Piala Shopee yang menyaksikan tiga perlawanan peringkat kumpulan di laman sendiri boleh membantu peningkatan kutipan tiket.
Beliau menjelaskan, TFC berjaya mengutip RM3.5 juta hasil jualan tiket pada tahun lalu melalui 13 perlawanan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta tiga perlawanan Piala AFC di SSMZA.
“Pada musim lalu, pihak pengurusan meletakkan sasaran kutipan kutip sebanyak RM3 juta namun berjaya mencapai RM3.5 juta termasuk aksi separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
“Berdasarkan kepada sokongan berterusan daripada penyokong setia TFC dibantu keputusan positif di atas padang, kami menyasarkan RM3.8 juta hasil jualan tiket untuk musim 2024/25.
“Jadi kami berharap peminat terus datang ke stadium bukan sahaja untuk membantu menjana pendapatan kelab malah menjadi pemain ke-12 atau tulang belakang pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Dan Hi-Tea Rakan Penaja TFC di sebuah hotel di sini, semalam.
Turut hadir Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Sabri menjelaskan, TFC telah berjaya menarik penajaan berjumlah RM8.3 juta daripada 22 penaja bagi mempersiapkan pasukan musim ini.
Mohd. Sabri berkata, jumlah itu membabitkan tajaan RM6.2 juta berbentuk wang tunai dan RM2.1 juta lagi tajaan berbentuk barangan dan perkhidmatan dari pelbagai syarikat.
“Musim ini TFC nengamalkan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah bagi menjaga kedudukan kewangan kelab namun tidak akan menghalang untuk membentuk pasukan yang kompetitif,” ujarnya. – UTUSAN










