PETALING JAYA: Jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan pencapaiannya dalam kempen Piala Trek Jepun I dan II boleh dibanggakan biarpun hanya membawa pulang dua pingat gangsa.
Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ membawa pulang dua gangsa menerusi acara pecut dan keirin pada kejohanan berkenaan biarpun dilihat mempunyai ruang untuk membuat kayuhan yang lebih baik.
“Gembira dengan dua gangsa sebab kami memang tak sasar untuk menang. Pelumba Jepun berada di tahap terbaik kerana perlumbaan ini dijadikan medan pilihan untuk mewakili negara itu ke Sukan Olimpik.
“Bagi acara keirin saya sengaja pecut awal dan saya dipintas ketika pusingan akhir. Catatan masa saya tidak jauh dengan juara dan itu buatkan saya gembira kerana mereka di tahap terbaik berbanding saya,” kata Azizulhasni kepada Utusan Malaysia.
Pelumba berusia 36 tahun itu turut memberitahu rakannya, Shah Firdaus Shahrom hampir terlibat dengan pelanggaran akibat pergeseran dengan pelumba lain namun, dapat dielakkan.
“Penting untuk kami kekal bebas daripada kecederaan. Kami tidak merancang untuk berlumba bermatian-matian pada kejohanan ini tetapi Sukan Olimpik di Paris nanti sudah tentu,” katanya lagi.
Selepas ini, Azizulhasni bersama rakannya akan pulang ke tanah air untuk menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan di Velodrom Nilai pada 20 hingga 24 Mei ini.-UTUSAN










