PETALING JAYA: Persembahan pemain-pemain muda skuad Speedy Tigers dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang telah berakhir Sabtu lalu, memperlihatkan masa depan cerah buat pasukan hoki lelaki negara.
Jika sebelum ini, Malaysia lebih bergantung harap kepada pemain senior, namun cara berbeza diterapkan pengendali baharu Speedy Tigers, Sarjit Singh apabila beliau menaruh kepercayaan kepada pemain-pemain muda.
Jika dinilai kepada keseluruhan persembahan di PSAS, tidak keterlaluan jika kita beranggapan sudah tiba masanya untuk pemain-pemain muda menggalas tanggungjawab dalam memastikan pasukan hoki lelaki negara terus digeruni di peringkat antarabangsa.
Perkara berkenaan turut diakui penyerang berpengalaman negara, Faizal Saari dan beliau turut berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh barisan pemain muda negara pada kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun, Faisal atau lebih mesra disapa Abe dalam kalangan rakan sepasukan menegaskan bahawa barisan pemain muda masih memerlukan masa untuk menjadi lebih baik khususnya di atas padang.
“Kita mempunyai kelompok pemain yang besar iaitu 30 orang pemain tersenarai dan setiap orang pemain akan diberikan peluang.
“Saya harap mereka akan memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin jika dipilih untuk bermain di Piala Negara-Negara di Poland nanti.
“Siapa yang terpilih oleh jurulatih (Sarjit) nanti, berjuanglah untuk negara sebab nanti bila kita dah jatuh, siapa lagi kalau bukan pemain-pemain ini untuk bangkit semula,” katanya.
Sementara itu,Syed Syafiq Syed Cholan yang ditugaskan sebagai flicker utama pada kempen PSAS edisi ke-30 itu, berkata, pemain-pemain muda ini sentiasa menunjukkan peringkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Kalau melihat kepada setiap perlawanan, mereka akan nampak pasukan Malaysia kali ini boleh tahan juga. Walaupun dibarisi pemain muda tapi daripada aspek permainan, mereka nampak semakin bagus.
“la pengalaman yang amat bermakna kepada barisan pemain ini kerana mereka akan mula tahu corak permainan lawan di peringkat antarabangsa. Apabila sudah beraksi lebih banyak perlawanan mereka akan dapat menyesuaikan diri,” jelasnya.
Selepas berakhir PSAS, skuad negara akan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 9 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia bermula 8 hingga 17 September di Inner Mongolia, China.-UTUSAN









