Siasatan SPRM calar imej FAM

Siasatan SPRM calar imej FAM

SURAT layang membabitkan dakwaan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tersebar sehari sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan ke-60 FAM.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tumpuan peminat sukan tempatan kini terarah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan terhadap badan induk itu.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, terdapat banyak risiko yang boleh berlaku sekiranya masalah urus tadbir didakwa menerusi ‘surat layang’ yang tular baru-baru ini mempunyai asas dan sememang berlaku dalam persatuan terbabit.

Katanya, ia termasuk FAM boleh digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyaksikan segala aktiviti bola sepak di negara ini tidak boleh dijalankan selain turut memberi kesan besar kepada kem Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon.

“Siasatan SPRM ini jejaskan imej FAM, cuma kita mengharapkan tidak ada kesalahan besar seperti mana yang didakwa, sekali gus membersihkan imej FAM dan tidak menjejaskan ekosistem bola sepak negara yang nampak ada sedikit peningkatan ketika ini.

“Cuma kita risau juga kalau hasil siasatan mendapati wujud salah laku, ia pastinya akan menjejaskan perjalanan liga, pemain juga akan terjejas, perjalanan pasukan pasukan juga akan terjejas, dan kemungkinan liga juga boleh tertangguh.

“Yang paling kita risau jika ada campur tangan pihak kerajaan dalam hal berkaitan FAM ini. Nanti ia boleh menjadi perhatian yang serius dari FIFA, perkara ini pastinya mahu dielakkan, jika tidaka kan menjadi tragedi besar.

“Kita ambil contoh negara-negara yang pernah digantung FIFA, memang mendatangkan masalah. Tetapi kita tak boleh ketepikan juga kalau adanya penyelewengan, takkan kita nak duduk diam dan pihak berkuasa takkan duduk diam,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap FAM berdasarkan kepada aduan orang ramai.

Azam berkata, beberapa bukti seperti fail turut diambil pegawai SPRM dalam usaha untuk melengkapkan siasatan berkaitan dakwaan membabitkan salah laku yang berlaku di FAM.

“Berdasarkan kepada aduan awam, SPRM telah menjalankan siasatan. Kami juga telah mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, dan SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut. SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah,” kata Azam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN