Mampukah Sze Fei-Izzuddin takluk Asia

Mampukah Sze Fei-Izzuddin takluk Asia

GOH Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd. Rumsani (depan) mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia 2024 selepas menewaskan rakan senegara yang juga beregu No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14, 21-18 pada aksi suku akhir di Ningbo, China, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mampukah beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menggalas misi berat mengakhiri kemarau 17 tahun untuk merangkul gelaran Asia?

Semalam, pasangan No. 19 dunia itu meneruskan episod kejutan pada Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dan kali ini, yang menjadi mangsa Sze Fei-Izzuddin ialah gandingan No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sze Fei-Izzuddin mengambil masa selama 40 minit untuk mengetepikan beregu No. 1 Malaysia itu menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-18.

Bagaimanapun, misi yang lebih besar perlu digalas Sze Fei-Izzuddin iaitu menamatkan penantian peminat badminton tanah air untuk menyaksikan wakil negara mengungguli cabaran di pentas Asia.

Kali terakhir gandingan Malaysia membawa pulang Kejuaraan Asia, menerusi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2006 dan 2007 di Johor Bahru.

Sejak kejayaan tersebut, Malaysia tidak pernah merangkul sebarang gelaran beregu dengan pencapaian paling hampir diukir Aaron-Wooi Yik serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang muncul selaku naib juara pada edisi 2022 (Manila, Filipina) dan 2023 (Dubai, Emiriah Arab Bersatu).

Pencapaian terbaik Sze Fei-Izzuddin pada Kejohanan Asia pula, sewaktu mereka beraksi di Manila yang menyaksikan kemaraan pasangan itu disekat Aaron-Wooi Yik pada separuh akhir.

Sze Fei-Izzuddin pernah mengambil keputusan berpisah pada awal tahun lalu, namun, selepas empat bulan, kerjasama mereka kembali bertaut.

Sejak kembali digandingkan, Sze Fei-Izzuddin bergelut untuk mencari rentak permainan dan Kejohanan Asia seperti memberi nafas baharu buat beregu itu yang akhirnya menemui setuhan berbisa mereka.

Bagi Aaron-Wooi Yik, walaupun memegang rekod pertemuan 6-1 ke atas Sze Fei-Izzuddin, beregu yang bakal mengetuai cabaran negara pada Piala Thomas, hujung bulan ini, akhirnya tumpas buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Dalam perlawanan akhir, hari ini, Sze Fei Fei-Izzuddin dijangka berdepan sama ada beregu ke-14 dunia dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan atau pasangan tuan rumah yang merupakan pilihan ketiga, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Jika, rekod pertemuan diambil kira, Sze Fei-Izzuddin memiliki kelebihan psikologi 2-1 ke atas Jhe Huei-Po Hsuan, namun, seandainya Wei Kang-Wang Chang yang menjadi lawan mereka, maka, kelebihan 1-0 berpihak kepada beregu No. 3 dunia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN