PETALING JAYA: Jaguh badminton perseorangan para negara, Cheah Liek Hou membuktikan beliau berada dalam kelasnya tersendiri selepas meraih dua pingat emas dalam Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2024 Tahap 2, semalam.
Pemain berusia 36 tahun yang juga juara dunia lapan kali itu cemerlang di bumi Sepanyol selepas merangkul kejuaraan menerusi acara perseorangan selepas menewaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-13, 21-8.
Beliau kemudian meraih emas kedua selepas bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar pada aksi final beregu lelaki SU5 mengatasi pasangan India, Rajkumar-Chirag Baretha 21-16, 21-19 dalam permainan 29 minit.
Menerusi perkongsian laman sosial Facebook miliknya, Liek Hou berpuas hati dengan pencapaiannya dan mahu mencipta sensasi sekali lagi di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2024 Tahap 1 di Toledo, Sepanyol.
“Kami akan bertolak ke Toledo selepas ini untuk ke Kejohanan Tahap 1 seterusnya di Sepanyol juga. Saya cuma berharap saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan di Toledo minggu depan demi negara.
“Terima kasih banyak kepada semua yang telah menyokong saya terutamanya penaja yang sering percaya kepada saya akan cemerlang di pertandingan,” katanya.
Februari lalu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya mempertahankan gelaran dunia selepas menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrumusthi 21-15, 16-21, 21-15 pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia Para di Pattaya, Thailand.
Untuk rekod, Liek Hou memperoleh lapan gelaran dunia menerusi acara perseorangan pada tahun 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017, 2022 dan 2024.-UTUSAN










