PETALING JAYA: Penembak negara, Johnathan Wong bakal menyertai dua kejohanan di pentas antarabangsa sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Johnathan berlepas ke Berlin, Jerman hari ini bagi menghadapi Lapua IWK Berlin yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 April ini sebelum ke Azerbaijan untuk menyertai Piala Dunia ISSF pada 1 hingga 12 Mei ini.
Itu merupakan persiapan terakhir atlet berusia 31 tersebut sebelum berlepas ke Paris bagi menghadapi temasya terbesar di dunia pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Johnathan yang beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol lelaki di temasya tersebut berkata, tiada sebarang sasaran diletakkan kepadanya bagi dua kejohanan tersebut.
“Ia lebih kepada persiapan saya untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris, kerana kejohanan ini juga diadakan di Eropah jadi saya boleh sesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana.
“Selain itu juga, saya dapat sesuaikan diri dengan keadaan persekitaran menjelang temasya itu nanti dan ini adalah persiapan momentum saya untuk menghadapi Olimpik Paris,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Juara Sukan SEA dua kali itu layak ke Olimpik Paris secara merit selepas menduduki tempat keempat acara 10 meter air pistol dalam Kejohanan Menembak Dunia di Changwon, Korea Selatan.
Sebagai rekod, Johnathan pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio, Brazil pada 2016, namun gagal mara ke final apabila menamatkan cabaran di tempat ke-28 daripada 46 peserta.- UTUSAN










