PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli berpotensi untuk melangkah jauh dalam perlumbaan motosikal di pentas antarabangsa selepas melakar keputusan positif dalam aksi pembukaan musim pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Misano, Itali, kelmarin.
Hakim, 17, berjaya meraih perhatian daripada pengulas sukan pemotoran antarabangsa pada penampilan sulungnya di JuniorGP apabila dia beraksi sengit dalam tiga kelompok terbaik pada perlumbaan dua sebelum dilanggar dari belakang oleh pesaingnya.
Dalam perlumbaan satu, anak jati Kuala Terengganu, Terengganu itu melengkapkan aksinya di kedudukan kelapan, tetapi oleh disebabkan dia melanggar peraturan ‘track limits’ potongan tiga saat dikenakan yang menyaksikan dia terpaksa berpuas hati di tempat kesembilan.
Biarpun, pelumba SIC Racing-MSi itu terjatuh dalam perlumbaan dua, beliau masih mampu bangkit mengutip satu mata berharga selepas menamatkan aksinya di tangga ke-15 dan bagi kedudukan keseluruhan dia berada di tempat ke-12 mengumpul lapan mata daripada dua perlumbaan di Misano.
Ketua Pasukan SIC Racing-MSi, Zulfahmi Khairuddin turut memuji prestasi baik yang dipamerkan Hakim dan anak muda itu sebenarnya telah mula menunjukkan potensinya sewaktu sesi latihan lagi.
“Prestasi keseluruhan minggu ini untuk (Hakim) Danish sangat baik. Beliau menunjukkan progres yang baik sejak sesi latihan hingga perlumbaan.
“Pasukan melakukan kerja yang baik untuk mencari pelarasan terbaik semasa latihan pada Jumaat,” katanya.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu memberitahu, Hakim memiliki potensi untuk terus bertarung dalam kelompok hadapan cuma nasib tidak menyebelahinya dalam perlumbaan dua.
Mengulas pula keputusan yang dicatat seorang lagi pelumba Malaysia, Danial Syahmi Ahmad Shahril, Zulfahmi berkata, pelumba itu agak lambat untuk menyesuaikan dirinya dengan jentera dan isu tayar belakang yang dihadapinya dalam perlumbaan satu menyebabkan dia terjatuh dan gagal menamatkan saingan.
“Danial ditimpa kecederaan tangan kiri dan pinggul, tetapi, mujur dia mampu beraksi dalam perlumbaan dua untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-10, lima saat di belakang pemenang,” ujarnya.
Danial yang berlumba bersama Junior Talent Team melakukan penampilan buat kali ketiga dalam JuniorGP, mengumpul enam mata dalam kedua-dua perlumbaan dan berada di kedudukan ke-15 keseluruhan.-UTUSAN










