Eain Yow juara Terbuka Jerman

Eain Yow juara Terbuka Jerman

NG Eain Yow bersama trofi yang dimenanginya selepas muncul juara Terbuka Jerman di Hamburg, Jerman, semalam. - Gambar ihsan PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow merangkul gelaran sulung pada Jelajah Dunia selepas membenam cabaran Dimitri Steinmann dalam perlawanan akhir Terbuka Jerman di Hamburg, Jerman, semalam.

Turun selaku pilihan keempat, anak jati Kuala Lumpur tersebut dipaksa bermain selama lebih sejam sebelum menang ke atas wakil Switzerland itu 12-10, 11-8, 10-12, 11-3.

Kejayaan pada kejohanan bertaraf bronze itu juga bakal menyaksikan Eain Yow yang mengalami kejatuhan ranking di kedudukan ke-22 dunia, kembali berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, minggu ini.

“Saya rasa sepanjang minggu ini, saya mempamerkan prestasi yang mengagumkan, jadi, saya sangat gembira berjaya mencatat kemenangan ini,” kata Eain Yow ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Eain Yow memberitahu, perlawanan akhir selalunya berbeza kerana tekanan sentiasa mengiringi mana-mana pemain yang berjaya berbuat demikian.

“Sejak saya mencatat kemenangan pada separuh akhir, saya tidak henti-henti menerima mesej daripada ramai kenalan.

“Jadi, untuk perlawanan akhir, hari ini (semalam), memang saya jangkakan sukar terutama menentang Steinmann,” ujarnya yang kini melebarkan rekod pertemuan 2-0 ke atas pemain No. 34 dunia itu.

Mengulas mengenai aksi final, jelas Eain Yow, Steinmann yang mendapat sokongan peminat tempatan kerana kebolehannya berbahasa Jerman, memberikan tentangan cukup sengit apabila menyempurnakan setiap pukulan ke segenap gelanggang.

“Saya perlu kekal dengan perancangan permainan dan saya rasa saya berjaya melakukannya. Saya gembira berjaya merangkul gelaran, minggu ini,” tambahnya.

Kemenangan Eain Yow itu memberi petanda positif buat Malaysia yang meletakkan harapan kepada skuasy sebagai sasaran pingat emas pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN