Tugas getir Sarjit pulih imej hoki

Tugas getir Sarjit pulih imej hoki

SKUAD Speedy Tigers akan dimbing jurulatih baharu iaitu Sarjit Singh.-IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Debaran menanti siapa yang bakal menjadi jurulatih baharu Speedy Tigers akhirnya terjawab apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan pelantikan, Sarjit Singh, semalam.

Sarjit bukanlah nama asing dalam arena hoki negara kerana dia pernah mewakili negara sebagai pemain dan menjadi jurulatih skuad Speedy Tigers pada Januari 2007 hingga Disember 2008.

Menandatangani kontrak selama dua tahun, Sarjit  tidak berdepan tekanan untuk membimbing Speedy Tigers kerana tiada sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan kepada dirinya dan pasukan.

Biarpun nampak mudah dan tanpa tekanan, sebenarnya tugas getir menanti Sarjit kerana dia perlu memulihkan semula imej skuad hoki lelaki negara yang dilihat berdepan kemerosotan prestasi ketika ini.

Untuk rekod, skuad negara yang dibimbing A. Arul Selvaraj sebelum ini gagal menepati sasaran emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 selain terlepas slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam aksi kelayakan.

Untuk itu, Sarjit perlu membentuk semula skuad yang lebih mantap untuk memburu pingat emas Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, sekali gus melayakkan Malaysia ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Cabaran pertama jurulatih baharu itu ialah menyediakan skuad ampuh bagi mengharungi Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Ipoh, Perak pada Mei depan selain Piala Negara-negara (31 Mei-9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia (8-17 September).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×