PETALING JAYA: Juara FIM MiniGP Dunia 2023, Qabil Irfan Azlan bakal menyertai Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) sebagai pelumba Moto4 bagi musim 2024.
Pelumba cilik berusia 12 tahun itu akan bernaung di bawah pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing yang membabitkan pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan dijangka beraksi di litar sekitar Sepanyol serta Portugal.
Untuk makluman, perlumbaan Moto4 melibatkan motosikal berkuasa 150cc dengan saiz rim 17 inci.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, pada tahun lepas, Qabil telahpun melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang menjuarai Kejohanan MiniGP (160cc) di Valencia.
“Keyakinan kami terhadap kemahiran serta pengalaman Qabil dalam perlumbaan sebelum ini mendorong kami untuk memberi pendedahan kepada Qabil dalam perlumbaan di pentas antarabangsa.
“Menerusi platform Moto4 ini, kami yakin ia tidak hanya akan memberi cabaran kepada kemahirannya, tetapi juga menyumbang kepada pengalaman untuk menghadapi persaingan sengit dalam siri perlumbaan antarabangsa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, semalam.
Menurut beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta SIC akan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan penuh dalam perjalanan karier pelumba cilik tersebut.
Sementara itu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin pula memberitahu, penyertaan Qabil dalam perlumbaan tujuh pusingan ESBK tahun ini merupakan satu inisiatif pihaknya ambil untuk memperluaskan lagi karier pelumba itu.
“Selepas kejayaannya dalam Kejohanan FIM MiniGP Siri Malaysia dan juga World Final, sudah tiba masanya Qabil yang tahun ini berusia 12 tahun bersedia untuk perlumbaan Moto4 pula yang bakal memberi pendedahan awal dalam perlumbaan dua roda di Eropah,” ujarnya.
Zulfahmi berkata, pasukan yang bakal disertai Qabil iaitu VHC Frando Racing memiliki rekod prestasi yang cemerlang dalam kategori Moto4.
“Saya yakin dengan pengalaman yang bakal diraih Qabil dalam kejuaraan itu akan menjadi aset yang berharga bagi perkembangannya sebagai pelumba,” katanya.
Qabil akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini bersama ayahnya, Azlan untuk mengikuti ujian pra-musim pada 16 dan 17 Mac di Litar Jerez dan akan kekal di sana sehingga pusingan pertama ESBK yang bermula pada 6 serta 7 April di trek sama. – UTUSAN










