Pemergian Wan Muhammad Haikal kehilangan besar buat Terengganu - Utusan Malaysia

Pemergian Wan Muhammad Haikal kehilangan besar buat Terengganu

WAN MUHAMMAD HAIKAL WAN HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemergian atlet silat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 20, yang meninggal dunia selepas rebah ketika beraksi di Seremban, awal pagi tadi, ialah kehilangan besar buat negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Wan Muhammad Haikal ialah prospek pingat Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku membabitkan atlet pencak silat sehingga mengejutkan semua penggiat sukan di Terengganu.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan meneliti kejadian menimpa Allahyarham selepas menerima laporan penuh berkaitan insiden berkenaan.

“Kerajaan negeri merakamkan rasa takziah buat ahli keluarga Allahyarham yang disahkan meninggal dunia awal pagi tadi, setelah bertanding pada Kejohanan Pra Sukma di Negeri Sembilan, kelmarin.

“Wan Muhammad Haikal merupakan atlet fasa akhir Terengganu menghadapi Sukma 2024 dan akan bertanding dalam kategori Putra I (85 sehingga 90 kilogram) selain merupakan atlet sasaran pingat.

“Urusan membawa pulang jenazah dari Negeri Sembilan, pengurusan jenazah dan kebajikan keluarga akan diuruskan oleh pihak MSNT,” jelasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya, berkata, kejadian menimpa Wan Muhammad Haikal itu sangat mengejutkan kerana Allahyarham sebelum ini tiada gangguan masalah kesihatan.

Beliau berkata, difahamkan laporan perubatan mengesahkan kematian atlet tersebut berpunca daripada pendarahan dalam kepala atau ‘diffuse subarachnoid heamorrhage.

“Allahyarham bagaimanapun dilaporkan tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan namun MSNT masih menunggu laporan penuh kronologi kes dan akan membuat penelitian secara terperinci.

“Skim bantuan seperti perlindungan insurans berkelompok disediakan dan kita juga akan menyerahkan bantuan khairat kematian RM2,000 kepada keluarga waris dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN