PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tidak mahu anak-anak buahnya pulang dengan tangan kosong pada, aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, awal pagi esok.
Pan Gon berkata, para pemain perlu mengerah segala keringat bagi memastikan peluang Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 terus bersinar dan terus memberi harapan kepada penyokong.
Menurut Pan Gon, semua 24 pemain yang dibawa ke Muscat, Oman telah menjalani persiapan pada sesi latihan dengan terbaik dan dan dia berharap misi untuk mencuri mata berharga dapat direalisasikan.
“Persiapan yang kami lakukan berjalan lancar dan saya yakin pemain bersedia untuk berikan aksi yang berkualiti buat tontonan peminat bola sepak di tanah air.
“Misi kita adalah untuk mencuri satu mata atau kalau boleh dapat kutip tiga mata kembali untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Pemain telah menunjukkan kesetiaan dan mereka sedar bahawa sasaran pasukan adalah untuk berada dalam kelompok 18 negara terbaik Asia (pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026) nanti,” katanya pada sidang media semalam.
Untuk rekod, Harimau Malaya kini mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan pada tahun lalu dan berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman jika melakar kejutan ke atas pasukan di ranking ke-80 dunia itu.
Sekiranya meraih enam mata maksimum, pasukan kebangsaan boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki ke fasa kelayakan Piala Dunia 2026 yang seterusnya ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.-UTUSAN










