PETALING JAYA: Atlet memanah recurve dalam skuad pelapis kebangsaan kini berpeluang untuk merebut tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mempamerkan aksi konsisten dalam kejohanan yang disertai.
Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Mohd Marbawi Sulaiman berkata, dalam Kejohanan Memanah Kebangsaan di Shah Alam, Selangor, minggu lalu, pemanah muda dilihat mampu memberi cabaran kepada atlet senior.
“Buat masa ini memang terlalu awal untuk kita menghakimi persembahan yang dipamerkan pada kejohanan kebangsaan, tetapi, mungkin ada perubahan berlaku pada ahli pasukan kebangsaan.
“Kita hanya memerlukan tiga orang untuk beraksi pada Piala Dunia Antalya di Turki Jun ini, jadi, kita akan tengok nanti siapa yang lebih stabil, atlet pelapis ada peluang kalau dapat atasi atlet podium,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Piala Dunia Antalya merupakan peluang terakhir buat pemanah negara merebut tempat ke Sukan Olimpik Paris dengan acara berpasukan lelaki dan wanita menjadi fokus Marbawi kerana acara tersebut bakal membawa kesemua wakil Malaysia ke temasya empat tahun sekali itu.
Menurut Marbawi, untuk skuad lelaki di Kejohanan Memanah Kebangsaan, atlet pelapis berupaya mencipta kejutan ke atas skuad senior pada separuh akhir acara berpasukan sehingga berjaya mara ke final.
“Pencapaian itu sebenarnya satu petanda baik yang menunjukkan peningkatan prestasi atlet pelapis. Untuk pemanah senior mereka nampaknya masih mencari rentak dan kita amat memerlukan kejohanan yang sesuai untuk acara berpasukan ini bagi menilai keupayaan sebenar mereka,” katanya.
Mengulas mengenai skuad wanita, Marbawi memberitahu, ketiadaan pemanah muda, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada kejohanan kebangsaan itu menyukarkan beliau untuk menilai kekuatan sebenar anak-anak buahnya.
“Kalau ikut ranking walaupun Ku Nurin dalam skuad pelapis, tetapi dia berada di kedudukan tiga teratas dalam skuad wanita berbanding Nurul Azreena Mohamad Fazil yang merupakan pemanah keempat terbaik kita.
“Tetapi Azreena pamer peningkatan yang ketara, bagaimanapun, dalam masa sama tidak adil buat Ku Nurin yang tidak dapat bertanding, jadi, saya sendiri sukar untuk menilai kekuatan sebenar pemanah kita,” tegasnya.
Tambah Marbawi, untuk berlaku adil, beliau hanya akan membuat keputusan akhir sewaktu Piala Dunia di Yecheon, Korea Selatan, Mei depan, sebelum terbang ke Antalya, Turki bersama-sama barisan pemanah terbaik untuk skuad lelaki dan wanita.-UTUSAN










