KUALA LUMPUR: Beregu No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui mereka tidak beraksi pada prestasi sebenar ketika tewas kepada beregu Indonesia pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, kelmarin.
Aaron berkata, dia dan Wooi Yik bermain di bawah par dan segala strategi yang mereka rancang serba tidak menjadi, sekali gus tumpas 16-21, 16-21 kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam masa 44 minit.
“Tahniah kepada Fajar dan Rian, mereka bermain dengan sangat baik dan berjaya mengawal permainan, walaupun tewas pada final, saya tetap gembira dengan persembahan kami sepanjang minggu ini,” katanya dalam satu temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan akhir tamat, kelmarin.
Menurut Aaron, peluang mereka untuk melakar kemenangan pada perlawanan akhir itu ada, tetapi, diakuinya tidak mudah untuk direalisasikan.
Ketika ditanya pula sama ada kelajuan permainan mengganggu rentak permainan mereka, Aaron menafikan dakwaan tersebut, malah, sebaliknya memuji Fajar-Rian yang mempamerkan prestasi baik dengan pukulan berkualiti tinggi berjaya dipersembahkan pasangan Indonesia tersebut.
“Saya melihat kemaraan kami sehingga ke final All England memberi satu suntikan semangat untuk kami walaupun tidak mencatat keputusan yang diharapkan,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan kepada semua atlet dalam program Road To Gold (RTG) termasuk Aaron-Wooi Yik agar tidak ditimpa kecederaan sebelum Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.
“Apa yang paling penting daripada sekarang sehingga Olimpik adalah untuk memastikan mereka tidak dapat kecederaan baharu dan mereka mesti berhati-hati,” katanya.
Ketika ditanya pula mengenai satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang telahpun tersingkir daripada kelayakan ke Olimpik, Hannah memberitahu, masa depan pasangan No. 2 Malaysia itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG.
“Kalau dilihat sebelum ini, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri memang mereka dikeluarkan daripada RTG, jadi, saya rasa semua orang tahu mengenai keputusannya, tetapi, jawatankuasa RTG akan umumkan nanti,” tegasnya.-UTUSAN










