Yi Wei ditabal presiden wanita pertama terajui Ragbi Selangor

Yi Wei ditabal presiden wanita pertama terajui Kesatuan Ragbi Selangor

Lim Yi Wei (lima dari kiri) dilantik menjadi Presiden Kesatuan Ragbi Selangor untuk penggal 2024 hingga 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) yang berlangsung di ibukota hari ini mencatat sejarah apabila melantik Lim Yi Wei untuk menjadi presiden wanita pertama menerajui persatuan ragbi di Malaysia.

Yi Wei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kg. Tunku dicalonkan oleh Combined Old Boys Rugby Association (Cobra) untuk jawatan presiden, yang menyaksikan dia menang tanpa bertanding dan akan memegang kerusi presiden sehingga 2026.

Ia cabaran yang cukup berat buat Yi Wei memandangkan sukan ini dipelopori oleh kaum lelaki, namun dia mahu membuktikan bahawa wanita juga mampu untuk memacu kejayaan dalam persatuan sukan di Malaysia.

Untuk itu, Yi Wei, 34 tahun akan berusaha untuk menunaikan manifestonya iaitu mengembalikan Selangor menjadi kuasa besar ragbi tempatan dengan kembali merebut kejuaraan Piala Agong serta memperkasakan semula Liga Ragbi Selangor.

Untuk rekod, ragbi bukanlah asing buat Yi Wei memandangkan dia pernah terlibat dalam sukan ini ketika menuntut di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong dengan beraksi di posisi sayap.

“Ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah agak berat tapi seperti yang saya katakan dalam ucapan saya, saya tidak masuk sebagai seorang ahli politik yang mahu posisi dalam persatuan sukan untuk mencipta nama tetapi saya masuk sebagai seorang pencinta sukan ragbi dan kami akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dengan barisan exco terkini.

“Sebenarnya saya rasa agak gementar tapi saya juga mengambilnya sebagai satu perkara yang baik sebab ia boleh dijadikan sebagi teladan kepada belia wanita yang lain terutamanya yang terlibat dalam sukan bahawa kita bukan sahaja boleh menjadi atlet, tapi juga ada ruang untuk menerajui pengurusan sesebuah badan sukan.

“Saya digalakkan untuk bertanding menjadi presiden kerana ada sesetengah pihak yang merasakan tahap sokongan yang saya berikan terhadap KRS sebelum ini seperti seorang presiden. Saya telah membantu menghubungkan KRS dengan kerajaan terutamanya pihak Menteri Besar dalam mencari dana dan menyokong pembangunan untuk menganjurkan kejohanan dan sebagainya,” jelas Yi Wei.

Senarai Jawatan Kuasa Exco KRS bagi penggal 2024-2026

Presiden : YB Lim Yi Wei
Timbalan Presiden : Prakash Bin Arikrishnan
Naib Presiden : Datuk Aldillan Bin Anuar
Naib Presiden : Mohd Hafiz Bin Mohd Zaki
Setiausaha Kehormat : Tan Thiam Jin
Penolong Setiausaha Kehormat : Mohd Azri Bin Mardi
Bendahari Kehormat : Mohd Emran Bin Ibrahim
Ahli Jawatankuasa (01) : Shahizam Bin Tukiran
Ahli Jawatankuasa (02) : Mohammad Faiz bin Samsukhidir
Ahli Jawatankuasa (03) : Sean Pereira
Ahli Jawatankuasa (04) : Muhammad Siddiq Amir bin Jalil

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN