LONDON: Liverpool menambah koleksi Piala Liga Inggeris (EFL) selepas berjaya menumpaskan Chelsea dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley sebentar tadi.
Barisan kedua-dua pasukan cuba untuk mendapatkan gol awal namun hampa apabila kedudukan terikat tanpa sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
Bersambung perlawanan di babak kedua, Liverpool sepatutnya di hadapan pada minit ke-63 apabila pemain pertahanan, Virgil van Dijk menanduk bola ke dalam gawang Chelsea.
Bagaimanapun semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati rakan sepasukannya, Wataru Endo berada dalam kedudukan ofsaid sekaligus gol tersebut tidak dikira.
Sebaliknya Chelsea semakin bernafsu mengasak ke kubu Liverpool, namun mereka seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila deretan peluang terhidang, khususnya menerusi Conor Gallagher tidak disudahkan dengan baik.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat 90 minit, yang menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.
Liverpool dan Chelsea turut mensia-siakan peluang mereka untuk mencetak jaringan sehinggalah perlawanan seakan-akan ditentukan ke penentuan penalti.
Berpunca daripada sepakan penjuru, van Dijk sekali lagi melonjak tinggi untuk menanduk bola ke gawang Chelsea, sekaligus menewaskan Dorde Petrovic buat kali kedua dalam perlawanan ini.










