PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah berjaya menyunting bekas pembantu Mathias Boe, Muhammad Miftah untuk sebagai jurulatih baharu kebangsaan bagi meningkatkan lagi prestasi beregu wanita negara.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan, Miftah telah pun memulakan tugas sejak kelmarin.
Ketika ini, beregu wanita dalam keadaan merisaukan memandangkan Malaysia tidak mempunyai wakil yang menyerlah selain Pearly Tan dan M. Thinaah.
Langkah membawa masuk Miftah juga dilihat sebagai mengurangkan beban jurulatih Hoon Thien How yang ketika ini terpaksa menguruskan tiga lagi pasangan dalam skuad senior selepas pengunduran diri Chan Chong Ming pada 2021.
“Ini sangat baik untuk skuad beregu wanita kita, dia boleh berkongsi pengalamannya kerana dia cukup lama di India dan dia juga pernah menjadi pembantu untuk tiga jurulatih berlainan.
“Bermula dengan Tan Kim Her, Flandy Limpele dan Mathias Boe. Malah Mathias amat mempercayai dia, semua program telah dikongsikan kepadanya, menguruskan beregu lelaki, Satwiksairaj (Rankireddy) dan Chirag (Shetty).
“Pengalamannya sebagai jurulatih berprestasi tinggi itu ada dan ini dapat membantu Hoon (Thien How) untuk meningkatkan lagi prestasi beregu wanita negara kita, misalnya mempersiapkan Pearly dan Thinaah untuk kejohanan-kejohanan lain serta Sukan Olimpik,” jelas Rexy.
Miftah yang sebelum ini berkhidmat dengan Persatuan Badminton India sebagai penolong jurulatih beregu lelaki negara itu merupakan sebahagian daripada tulang belakang kepada kejayaan India merangkul Piala Thomas pada 2022. – UTUSAN









