TNB pintas Maybank sebagai pendahulu MHL 2024

TNB pintas Maybank sebagai pendahulu Liga Hoki Malaysia 2024

Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini mendahului Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024. (FOTO: MHC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh menarik nafas lega apabila bukan sahaja melakar kemenangan besar ke atas Nurinsafi Sporting dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, namun melihat seteru, Maybank keciciran mata hari ini.

Sebelum perlawanan dimulakan, TNB berada di kedudukan ketiga liga, di belakang Maybank sebagai pendahulu dengan 13 mata, diikuti Nurinsafi yang meraih 12 mata.

Begitupun TNB melancarkan serangan bertali arus dan berjaya meledak dua jaringan dalam tempoh dua minit menerusi Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11 disusuli jaringan Danish Aiman Khairul Anuar.

Amirul Hamizan Azahar melebarkan jurang buat TNB menerusi jaringan yang terhasil daripada pukulan sudut penalti.

Nurinsafi tidak mengalah dan membalas menerusi jaringan padang Nur Rahull Hrsikesa pada minit ke 36.

Marhan Abdul Jalil (kanan0 sedang bersaing dengan pemain Nurinsafi Sporting, Tengku Ahmad Tajuddin dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 hari ini. (FOTO: MHC)

Bagaimanapun sisa-sisa perjuangan Nurinsafi dipadamkan peledak berbisa dari Korea Selatan, Jang Jonghyun yang menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49 dan 59.

Kemenangan 5-1 ini cukup bermakna untuk TNB memintas Maybank sebagai pendahulu selepas pasukan kendalian Azrul Effendy Bistamam diikat seri 2-2 oleh Kuala Lumpur (KL) City.

Hafizi Zainuddin meletakkan KL City di hadapan seawal minit kelima, sebelum Razie Abd Rahim menyamakan kedudukan pada minit ke 39.

Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Nazreen Noor Azuddin kembali meletakkan KL City di hadapan.

Pemain Maybank meraikan jaringan ketika menentang Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 hari ini. (FOTO: MHC)

Muhammad Izham Azhar menyelamatkan maruah Maybank apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 58 menerusi pukulan sudut penalti.

TNB dan Maybank kini berkongsi 14 mata, namun perbezaan jaringan memberikan kelebihan buat TNB untuk berada di puncak liga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×