Steenvorden sah bersama skuad Sang Penyu - Utusan Malaysia

Steenvorden sah bersama skuad Sang Penyu

MATTHEW STEENVOORDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Desas-desus mengaitkan pertahanan tengah kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden, dengan Terengganu FC (TFC) berakhir apabila pemain itu sah bersama skuad Penyu.

Ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, Steenvorden, 31, menjadi pilihan utamanya bagi mengukuhkan benteng pertahanan selepas menggugurkan Sardor Kulmatov.

Menurutnya, Steenvorden yang memulakan karier bersama kelab gergasi Belanda, Feyenoord itu memiliki pengalaman luas selaku bekas pemain skuad remaja negara berkenaan.

Malah, katanya, Steenvoorden juga antara watak penting membantu kelab terakhirnya, Pakhtakor Tashkent, menjuarai Liga Uzbekistan tahun lalu sebelum menyertai skuad Penyu.

“Kami optimis kemampuan Steenvoorden mengetuai benteng TFC untuk digandingkan bersama tonggak tempatan terutamanya Shahrul Nizam Roshasni di posisi bek tengah.

“Dia (Steenvoorden) terkenal dengan corak permainan agresif sekaligus calon terbaik untuk mengisi kekosongan di posisi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, persiapan skuad Penyu menghadapi musim 2024/25 kini hampir lengkap dengan kemasukan pemain pertahanan tinggi lampai itu.

Beliau menjelaskan, TFC hanya menunggu kehadiran seorang lagi awang import untuk memperkemaskan jentera tengah sekaligus melengkapkan kuota enam pemain asing musim ini.

“Barisan kejurulatihan sedang mengenalpasti calon terbaik seorang ‘jeneral’ di posisi tengah yang boleh serasi dengan corak permainan TFC berdasarkan percaturan pengendali pasukan,” katanya.

Selain Steenvoorden, TFC turut diperkuatkan empat lagi tonggak import iaitu Ivan Mamut (Croatia), Ismaheel Akinade (Nigeria), Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan) dan Argzim Redzovic (Montenegro). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN