Pemain Kedah buntu

Pemain Kedah buntu

KHAMAL Idris Ali (tiga dari kanan) meletak jawatan sebagai CEO Kedah Darul Aman FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ‘Ke mana agaknya hala tuju gaji kami?’

Itu persoalan yang timbul dalam kalangan pemain bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) setelah tunggakan gaji mereka yang dikatakan akan dibayar pada 31 Januari lalu, terus tidak kelihatan hingga kini.

Menurut pemain yang dihubungi, ketika ini mereka benar-benar buntu memikirkan perkara tersebut apatah lagi setelah melihat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan itu, Khamal Idris Ali meletak jawatan secara mengejut semalam.

“Pihak pengurusan sebelum ini berjanji untuk melunaskan gaji kami pada 31 Januari 2024 tetapi ketika ini gaji tak masuk dan CEO pula letak jawatan secara mengejut. Tentang peletakkan jawatan itu pun, kami tak tahu apa-apa sampailah kenyataan media dikeluarkan mengenainya semalam.

“Keadaan itu sudah tentu menimbulkan persoalan tentang apa yang sudah jadi dengan pasukan ini? Setakat ini semua kami tertanya-tanya mengenai kedudukan gaji yang amat kami perlukan.

“Ada dalam kalangan pemain yang kehidupannya cukup terjejas dan kami bimbang kejadian yang menimpa pasukan Melaka United sebelum ini, terjadi kepada kami,” katanya.

Selain pasukan utama, difahamkan para pemain KDA FC B yang beraksi dalam Piala MFL turut tidak memperoleh gaji untuk tempoh empat bulan.

Seorang lagi pemain berkata, baru-baru ini pihak pengurusan tertinggi mengajak mereka untuk mengadakan pertemuan empat mata bagi bercakap mengenai soal gaji.

“Setelah berbincang sesama pemain, kami putuskan untuk tidak menyertai pertemuan itu atas beberapa faktor. Lagi pun ketika gaji kami tertunggak selama dua bulan sebelum ini, pertemuan itu pernah diadakan dan pada akhirnya kami cuma menerima setengah bulan gaji.

“Selain itu, pertemuan tersebut sudah tentu mahu diadakan di Alor Setar sedangkan kebanyakan kami sudah pulang ke kampung masing-masing. Macam mana kami nak ke Alor Setar dengan membayar tol serta minyak dalam keadaan tak berduit?” katanya.

Tegasnya, ketika ini tiada apa yang diharapkan lagi selain gaji mereka dibayar secepat mungkin.

“Kami dah tak tahu nak mengadu kepada siapa melainkan bersembang sesama sendiri dalam kumpulan Whatsapp pemain. Hidup makin tersepit manakala bank pula asyik telefon tak berhenti menagih hutang dengan keadaan itu boleh dikatakan dialami setiap pemain.

“Khabarnya 14 Februari ini, latihan sudah dimulakan untuk menghadapi musim baharu. Tetapi kalau gaji tak ada, macam mana kami nak turun berlatih?,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×