Mohd. Azraai tiada galang ganti

Mohd. Azraai tiada galang ganti

MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Arena bola sepak negara kehilangan satu lagi permata berharga selepas jurulatih berpengalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah meninggal dunia, semalam.

Pemergian Allahyarham pada usia 72 tahun mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini tiada laporan mengatakan beliau uzur, malah sering memberikan komen apabila dihubungi media.

Azraai yang dilahirkan pada 25 Oktober 1952 merupakan seorang jurulatih berkaliber khususnya ketika membimbing Kedah sebelum berkelana untuk membimbing Harimau Muda A, Negeri Sembilan, T-Team dan Kelantan dan Perak.

Rekod paling gemilang Azraai ialah apabila membentuk generasi emas di Kedah untuk mencipta sejarah apabila membawa skuad Sang Kenari sebagai pasukan pertama memenangi ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.

Azraai menjadi satu-satunya jurulatih tempatan yang telah mencipta sejarah itu dan kejayaan meraih kejuaraan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut pastinya dikenang buat selamanya khusus buat penyokong Kedah.

Allahyarham telah dinobatkan sebagai Jurulatih Pilihan pada 2006 dan menjadi Jurulatih Terbaik pada 2007 di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 100 Plus-FAM selain turut menjulang Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2011.

Untuk karier sebagai pemain, Azraai memulakan karier sebagai pemain profesional bersama Kedah FA sejak tahun 1969 sehingga 1980.

Beliau bermain di posisi tengah serta boleh bermain di posisi sayap dan semangat kepemimpinan yang dimiliki Allahyarham juga membolehkannya memegang lilitan ketua pasukan untuk beberapa musim.

Selain Kedah FA, beliau juga pernah bermain bersama pasukan Kilat Kedah (Kelab Bolasepak TNB Kedah) bermula tahun 1981 sehingga 1986.

Sumbangan beliau dalam skuad kebangsaan juga tidak kurang hebatnya. Beliau pernah mewakili skuad Harimau Malaya pada Piala Asia di Iran selain menjadi antara pemain ketika Malaysia menjuarai Piala Merdeka dan Piala Raja Thailand pada 1976. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN