Misi penting Fareez di Kejohanan Dunia Para 2024

Misi penting Fareez di Kejohanan Dunia Para 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perseorangan lelaki badminton para negara, Muhammad Fareez Anuar mempunyai tugasan penting yang perlu dilaksanakan menjelang Kejohanan Badminton Para Dunia yang akan membuka tirai esok di Bangkok, Thailand.

Fareez perlu memastikan dia berupaya mara sekurang-kurangnya ke peringkat peringkat separuh akhir bagi acara perseorangan SU5, bagi membolehkan dia mengutip mata ranking untuk mengukuhkan kedudukannya dalam ranking Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pemain berusia 27 tahun itu kini berada di tangga keenam ranking berkenaan dengan mengutip 40452 mata, manakala rakan senegara, Cheah Liek Hou pula dilihat tidak menghadapi masalah untuk layak ke Paris apabila mengungguli carta ranking kelayakan dengan 65500 mata.

Hanya enam pemain terbaik dalam ranking kelayakan bakal raih slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Begitupun BWF menetapkan satu negara hanya boleh menyertai satu acara sahaja, tertakluk kepada kedudukan mereka dalam ranking kelayakan, namun kem Malaysia bercadang untuk membuat rayuan bagi Fareez sekiranya dia mampu berada dalam kedudukan enam terbaik.

Peluang Fareez juga dijangka tinggi untuk beraksi di Paris sekiranya dia berjaya capai sasaran mara ke separuh akhir di Kejohanan Dunia, sekaligus berpotensi mengatasi kedudukan ranking pemain Indonesia, Suryo Nugroho yang berada di tangga keempat ranking kelayakan.

“Kalau ikutkan format memang satu negara boleh hantar satu wakil sahaja. Saya pun tidak pasti tentang perinciannya tetapi saya tekad mahu beraksi dengan baik di Bangkok.

“Saya diberitahu saya perlu mengekalkan atau memperbaiki lagi kedudukan saya dalam ranking kelayakan ke Paralimpik Paris, supaya kontinjen Malaysia boleh membuat rayuan kepada BWF untuk menambah satu lagi slot buat saya,” kata Fareez.

Di Tokyo 2020, Indonesia mempertaruhkan dua wakil dalam acara perseorangan lelaki SU5, iaitu Nugroho dan Dheva Anrimusthi, namun Liek Hou lebih unggul untuk membawa pulang pingat emas dari Sukan Paralimpik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN