PETALING JAYA: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy mendedahkan dia menjadi mangsa kepada perubahan sistem kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024, sehingga terlepas peluang layak ke temasya itu lebih awal.
Khairulnizam yang memburu penampilan keempatnya di Sukan Olimpik berputih mata apabila mengumpul 165 mata bagi menduduki tangga ke 33 daripada 152 peserta di Kejohanan Lelaki Dunia ILCA 7 di Adelaide, Australia minggu lalu.
Lebih mendukacitakan, atlet berusia 31 tahun itu hanya dibezakan empat mata sahaja dengan pelayar Sweden, Emil Bengston yang meraih slot ke Olimpik Paris.
Format kelayakan kali ini menyaksikan hanya tujuh slot sahaja diperuntukkan daripada Kejohanan Lelaki Dunia ILCA 7 manakala di Kejohanan Pelayaran Dunia, Hague tahun lalu sebanyak 16 slot diperuntukkan bagi acara ILCA 7.
“Sistem kelayakan ini tidak ada sesiapa yang tahu sehinggalah hujung tahun lalu, jadi semua orang terkejut dan kita tidak boleh buat apa-apa. Saya fikir sesiapa yang layak sebelum ini dikira sudah layak, jadi memudahkan tugas kita tetapi sebaliknya berlaku.
“Mereka diberikan kuota kelayakan di kejohanan dunia. Kuota yang mereka dapat pada kejohanan Pan Amerika sebelum ini diberikan kepada negara lain walaupun tidak mencatat keputusan baik, sistem ini tidak memihak negara-negara Asia.
“Sistem kelayakan tidak memihak kepada saya selepas pelayar-pelayar yang sudah layak pada Kejohanan Asia dan Pan Amerika mengambil kuota kelayakan di Kejohanan Dunia. Mereka anggap Kejohanan Dunia mengatasi kejohanan-kejohanan benua sebelum ini.
“Memandangkan slot kelayakan turut diberikan kepada atlet-atlet yang sudah layak, ranking saya jatuh ke tangga kesembilan. Jika tidak, saya sepatutnya di ranking keenam dengan tujuh terbaik akan layak,” jelas Khairulnizam kepada Utusan Malaysia.
Cabaran getir buat Khairulnizam apabila terpaksa merebut enam slot terakhir untuk layak ke Sukan Olimpik di Kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis pada 18 hingga 27 April ini. – UTUSAN










