Jangan biar Harimau Malaya ‘sejuk’

Jangan biar Harimau Malaya ‘sejuk’

SKUAD Harimau Malaya dijangka menjalani kem latihan pusat dalam masa terdekat sebagai persediaan untuk berdepan Oman bulan depan.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia  (FAM) perlu bertindak segera mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada bulan depan.

Ketiadaan aksi kompetitif susulan Liga Malaysia (Liga M) yang berehat panjang selain kempen Piala Asia 2023 yang berakhir lebih sebulan lalu boleh mengundang risiko untuk pemain Harimau Malaya hilang ‘sengat’ dan keserasian atas padang.

Biarpun Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini ada menyatakan perancangan untuk mengatur perlawanan persahabatan, namun setakat ini tiada pengesahan pasukan mana yang akan dihadapi anak-anak buah Kim Pan Gon.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, aksi persahabatan penting buat Harimau Malaya mendapatkan kembali keserasaian selain para pemain juga perlu kembali mengikuti semula corak latihan dan taktikal Pan Gon.

“Sekarang pemain bersama kelab masing-masing, mereka ada jalani latihan. Namun, daripada segi perlawanan kompetitif tiada. Jadi, kalau dapat dua perlawanan persahabatan untuk Harimau Malaya sebelum bertemu Oman bulan depan tiada masalah.

“Saya percaya Pan Gon akan kekalkan skuad di Piala Asia untuk berdepan Oman nanti, itu yang terbaik yang kita ada sekarang dan Pan Gon juga tahu kelebihan pemain. Nak panggil awal untuk latihan itu terpulang kepada perancangan FAM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Hamidin menegaskan perancangan rapi perlu disusun bagi memastikan skuad Harimau Malaya dapat mengekalkan prestasi bagi meneruskan perjuangan menentang Oman di tempat lawan dan laman sendiri, Mac ini.

Jelasnya, skuad negara akan mengharungi sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan sebagai persiapan sebelum menentang Oman tanpa mengira sama ada aksi terbabit berlangsung di laman sendiri mahupun di luar negara.

Selepas ini, Harimau Malaya akan berdepan Oman dalam aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan Malaysia akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Keputusan dalam dua aksi berdepan pasukan ranking ke-80 dunia itu bakal mempengaruhi peluang buat Harimau Malaya menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi dengan juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Selepas dua perlawanan, skuad bimbingan Pan Gon mengungguli Kumpulan D dengan enam mata selepas melakar kemenangan ke atas Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN