PARIS: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton sah akan menyertai Ferrari pada musim depan selepas Mercedes mengumumkan pemandu Britain itu bakal meninggalkan pasukan akhir musim ini.
“Sudah tiba masanya untuk saya mengambil langkah ini dan saya tidak sabar mengharungi cabaran baharu,” kata Hamilton yang merangkul gelaran juara dunia F1 buat kali pertama pada musim 2008.
Selain itu, Ferrari turut mengesahkan pemandu berusia 39 tahun itu akan bergandingan dengan pelumba mereka yang sedia ada sekarang iaitu Charles Leclerc untuk mencabar kejuaraan bermula 2025.
“Ferrari dengan sukacita mengumumkan yang Lewis Hamilton akan menyertai pasukan pada tahun 2025, untuk kontrak beberapa tahun,” kata Ferrari dalam satu kenyataan.
Hamilton pernah berbincang dengan pasukan dari Itali itu untuk menyertai mereka pada tahun 2019 dan sebelum ini pemandu berkenaan sudah menandatangani kontrak dengan Mercedes sehingga 2025.
Bagaimanapun perjanjian yang ditandatangani Hamilton dengan Mercedes itu dilaporkan mengandungi klausa yang membenarkan bekas juara dunia itu meninggalkan pasukan selepas semusim.
“Lewis mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya yang diumumkan Ogos lalu dan musim ini akan menjadi tahun terakhirnya dia memandu untuk Silver Arrows,” kata Mercedes.
Hamilton memenangi gelaran dunia terakhirnya pada tahun 2020 dan terlepas gelaran pada tahun berikutnya secara kontroversi kepada Max Verstappen, yang 13 tahun lebih muda daripadanya.
Selepas itu, pemandu Red Bull dari Belanda itu terus mendominasi manakala Hamilton menduduki tempat keenam dalam kedudukan pemandu pada 2022 dan ketiga pada 2023. – AGENSI/UTUSAN









