FAM akan pantau padang SNBJ

FAM akan pantau padang SNBJ

STADIUM Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang skuad Harimau Malaya menentang Oman dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pada Mac depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa badan induk itu akan memantau keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum membuat sebarang keputusan pertukaran venue membabitkan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed menjelaskan pihaknya sedar SNBJ baru sahaja digunakan untuk menganjurkan konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran semalam dan wujud kemungkinan keadaan permukaan padang itu tidak berada dalam keadaan baik.

Justeru FAM akan mengaturkan lawatan ke SNBJ dan mendapatkan maklum balas daripada pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi menyusun persediaan yang lebih rapi menjelang pertemuan menentang Oman pada 26 Mac depan. 

“Kami akan mengadakan lawatan bagi melihat keadaan padang sebaik konsert terbabit berakhir dan ketika ini adalah tidak adil untuk FAM mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Pada masa sama, FAM juga berharap keadaan padang berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“Perlawanan menentang Oman cukup penting dalam usaha Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya,” kata Firdaus.

Tahun lalu, PSM turut berjanji akan segera menyelesaikan masalah padang yang rosak selepas SNBJ menganjurkan konsert Coldplay, namun gagal berbuat demikian apabila menyajikan padang bertompok-tompok untuk final Piala Malaysia antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember lalu.

Sekiranya padang di SNBJ tidak berada dalam keadaan yang memuaskan, pilihan yang FAM ada adalah menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor ataupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu.

Keputusan dalam dua aksi berdepan pasukan ranking ke-80 dunia itu bakal mempengaruhi peluang buat Harimau Malaya menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi dengan juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Ketika ini skuad kebangsaan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua aksi awal sebelum ini meletakkan skuad negara pada landasan terbaik untuk sekali lagi layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Harimau Malaya memimpin Kumpulan D, mendahului dua pasukan ranking lebih tinggi, Oman (80) dan dan Kyrgyzstan (104) yang berkongsi tiga mata, manakala Taiwan (153) di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN