Chong Wei putus asa dengan badminton Malaysia

Chong Wei putus asa dengan badminton Malaysia

LEE CHONG WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mengakui ‘semakin berputus asa’ dengan badminton Malaysia dan menegaskan perubahan drastik perlu dilakukan bagi menyelamatkan sukan itu di negara ini.

Legenda badminton negara itu menyuarakan perkara berkenaan selepas menyaksikan Malaysia tewas 0-3 di tangan China pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Ahad lalu.

China membuktikan status sebagai gergasi dunia biarpun hanya menurunkan pasukan kedua pada kejohanan kali ini manakala gelaran juara bagi saingan wanita dirangkul India dengan Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir.

Kejohanan BATC kali ini turut menawarkan mata ranking ke Sukan Olimpik Paris 2024 selain empat pasukan terbaik layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber di Chengdu, China, April depan.

“Saya tahu perkara yang sebenarnya menyakitkan, tetapi saya fikir badminton Malaysia akan terus merosot jika tiada sebarang tindakan dilakukan,” kata Chong Wei yang dipetik daripada akhbar The Star.

“Sekarang ini, saya rasa seperti mahu berputus asa dengan badminton Malaysia,” tambahnya yang bersara pada 2019 dengan pencapaian terbaik memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik dan tiga kali muncul naib juara dunia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, badan induk badminton di Malaysia perlu menggiatkan lagi usaha bagi memberi pendedahan kepada pemain muda sambil mendakwa pemain sekarang tidak mempunyai disiplin dan komitmen tinggi.

“Kita perlu membuat perubahan drastik. Jika tidak, kita akan ketinggalan jauh dan badminton tidak lagi menjadi sukan utama di negara ini. Saya tidak sanggup untuk menghadapinya,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN