KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menyambut baik ketegasan badan induk itu untuk menggugurkan mana-mana pemain yang berdepan masalah disiplin demi menjaga imej dan standard profesional sukan badminton negara.
Chong Wei yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga edisi itu berkata, disiplin merupakan aspek utama yang perlu ada dalam diri setiap atlet dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Untuk saya memang… saya dan jawatankuasa BAM selalu katakan, disiplin adalah nombor satu. Ia sangat penting untuk atlet kita. Masa Terbuka Malaysia lepas pun saya ada buat satu kenyataan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Chong Wei turut berkata, pemain senior perlu memainkan peranan sebagai contoh terbaik kepada generasi muda yang sedang meningkat naik dalam arena badminton negara.
“Jangan buat contoh yang tak berdisiplin. Generasi muda akan tengok pemain senior sekarang. Tak kira pemain negeri, junior atau simpanan, semua tengok pemain senior ini. Apa sahaja yang senior buat, mereka akan ikut,” katanya.
Ditanya mengenai peraturan BAM yang mewajibkan semua pemain belum berkahwin untuk menetap di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Chong Wei berkata, badan induk itu masih boleh lagi bertolak-ansur.
“Kita di sini masih bagi kelonggaran, Sabtu dan Ahad boleh balik rumah. Hari biasa pun boleh keluar, asalkan pukul 10:30 malam dah ada di asrama.
“Kalau ada majlis makan malam atau dapat anugerah yang habis lewat, kita boleh terima. Tapi peraturan dan disiplin tetap kena ada untuk pemain BAM,” katanya.
Terdahulu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan badan induk itu akan mengambil tindakan tegas dengan menggugurkan mana-mana pemain yang mempunyai masalah disiplin sama ada membabitkan junior mahupun senior.-UTUSAN










