Azizul raih emas keirin Kejohanan Trek Piala Negara-Negara 2024

Azizul raih pingat emas keirin Kejohanan Trek Piala Negara-Negara UCI 2024

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dia masih lagi yang terbaik di dunia apabila memenangi pingat emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Adelaide Super Drome sebentar tadi menyaksikan Azizul berjaya mengenepikan lima pencabarnya yang lain untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 9.910 saat (s).

Kejayaan itu sekaligus menghadiahkan pingat emas pertama kem negara di kejohanan ini, manakala pingat perak milik Shinji Nakano dari Jepun, sementara Ota Kaiya merangkul pingat gangsa.

Ia merupakan kemenangan yang cukup bermakna buat Azizul memandangkan wujud kerisauan tentang prestasinya menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang hanya berbaki kurang lima bulan sahaja lagi.

Terdahulu dalam pusingan kelayakan, Azizul berjaya menguasai saringan keempat untuk layak ke pusingan kedua dengan catatan 9.784s.

Di pusingan kedua pula, Azizul sempat meloloskan diri ke final setelah mengakhiri saingan di tempat ketiga di belakang Matthew Richardson dari Australia dan Xue Chen Xi dari China.

Rakan sepasukan, Muhammad Fadhil Zonis pula terpasksa berputih mata setelah terkandas seawal pusingan pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN