'Tentang Bahrain habis-habisan'

‘Tentang Bahrain habis-habisan’

(DARI kiri) Qorbin Ong, Sumareh dan Brendan Gan menjalani latihan bersama rakan skuad Harimau Malaya di Doha, semalam. Malaysia akan menentang Bahrain dalam perlawanan kedua kempen Piala Asia 2023, hari ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, Malaysia akan memberi tentangan habis-habisan dalam misi mencari kemenangan dalam pertemuan menentang Bahrain hari ini.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu berkata, para pemain sudah melupakan kekalahan besar 4-0 kepada Jordan dalam aksi pembukaan Piala Asia 2023 dan mereka kini bersedia untuk berdepan Bahrain dalam perlawanan kedua.

Pan Gon berkata, dia dan para pemain juga sedar bahawa bukan tugas mudah untuk berdepan Bahrain yang mempunyai ranking yang lebih baik berbanding Malaysia, namun segalanya tidak mustahil dalam bola sepak.

“Selepas perlawanan pertama, kami sudah melihat kembali kelemahan untuk diperbaiki bagi perlawanan kedua. Para pemain juga sudah pulih untuk fizikal dan juga mental bagi berdepan Bahrain dalam perlawanan seterusnya.

“Macam biasa, apabila tewas dalam perlawanan pertama, pastinya kecewa. Saya sebagai jurulatih pun kecewa kerana ia berlaku bukan seperti kami rancang. Jadi, misi kami seterusnya ialah berdepan Bahrain.

“Kita lihat satu perlawanan ke satu perlawanan. kami datang ke sini untuk menang dan bukanya seri atau kalah. Khususnya perlawanan esok (hari ini) menentang Bahrain. Ini perlawanan penting dan kami mahu menang,”  kata Pan Gon dalam sidang akhbar pra perlawanan.

Mengulas mengenai taktikal yang akan digunakan Harimau Malaya, Pan Gon berkata, Harimau Malaya akan bermain dengan cara dan identiti tersendiri sama seperti dua tahun lalu dan dia mahu meneruskan rentak yang sama berdepan Bahrain.

“Kita telah menggunakan cara ini selama dua tahun, kami menang dan seri berdepan pasukan seperti India, China, Syria, Kyrgyzstan dan lain-lain. Ini cara Malaysia, dan kita akan kekal dengan cara ini.

“Jadi, perlawanan esok (hari ini), kami akan cuba menguasai perlawanan, kami akan berikan mereka kesukaran. Kalau kita tidak buat begitu, ia bukan Malaysia. Kami juga sentiasa merancang untuk mencari gol awal dalam setiap perlawanan,” kata Pan Gon.

Ditanya tentang kelebihan yang dimiliki Bahrain, Pan Gon berkata, dia sedar pasukan lawan mempunyai pemain berkualiti dan mempunyai kelebihan fizikal berbanding pemain Harimau Malaya, namun dia tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya.

“Kami juga mendapat maklumat yang banyak tentang Bahrain menerusi video analisis, ada bahagian dan pemain tertentu yang perlu diberikan tumpuan kerana memiliki kualiti yang baik. Apa pun, kami sudah buat perancangan rapi untuk berdepan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Pan Gon turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia tidak kira yang datang ke Qatar untuk memberi sokongan atau pun yang berada di tanah air.

“Kami sentiasa mendapat sokongan penuh, itu sebab utama kami berjuang untuk Malaysia. Terima kasih datang berikan sokongan. Esok (hari ini) kami akan berikan yang terbaik, perlawanan seperti festival dan kami akan berikan kegembiraan kepada penyokong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN