PETALING JAYA: Harapan menggunung peminat bola sepak di Malaysia tidak meletakkan Harimau Malaya dalam situasi tertekan untuk meraih keputusan positif pada Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai pada minggu hadapan.
Sebaliknya, pengendali negara, Kim Pan Gon merasakan tekanan lebih terarah kepada pencabar lain iaitu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan memandangkan Malaysia hadir selaku pasukan ranking paling rendah dalam saingan Kumpulan E.
“Saya sedar inilah yang Malaysia harapkan ketika mula-mula melantik saya. Tekanan akan dirasai pencabar Malaysia kerana mereka menjangkakan kemenangan manakala bagi kami keputusan seri adalah cukup bagus.
“Jika Malaysia mampu kekalkan aksi baik, tekanan terhadap pasukan lawan yang berfikir mereka perlu kalahkan kami akan meningkat sekaligus membolehkan kami menjaringkan gol,” kata Pan Gon menerusi laporan Forbes.
Biarpun dijangka berdepan tugasan mencabar pada penampilan kali ini, peningkatan prestasi yang dibawa Pan Gon membuka harapan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melihat kemaraan pasukan ke pusingan kalah mati.
Dalam laporan sama, Pan Gon turut mengakui cabaran utamanya ketika ini adalah untuk memastikan setiap pemain yang dipilih kekal dengan mentaliti tepat terutamanya selepas mengharungi musim domestik.
Bagaimanapun, jurulatih dari Korea Selatan itu bertegas yang beliau dan barisan kejurulatihan akan terus bekerja keras untuk memastikan psikologi pemain kekal ‘segar’ dan terus yakin untuk berdepan setiap cabaran.
Harimau Malaya dijadual memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 16 Januari ini diikuti Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). – UTUSAN