Harimau buru gol awal berdepan Bahrain

Harimau buru gol awal berdepan Bahrain

PEMAIN kebangsaan menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Bahrain dalam kempen Piala Asia 2023, esok. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memburu gol awal menjadi antara perancangan Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan E menentang Bahrain dalam kempen Piala Asia 2023, esok.

Sedar dengan kekuatan pasukan Bahrain, selain mereka menduduki ranking yang lebih baik berbanding Malaysia namun sekiranya perancangan itu menjadi kenyataan, skuad negara dilihat berpeluang meraih keputusan positif.

Hanya kemenangan mampu membuka peluang kepada Harimau Malaya untuk layak ke pusingan seterusnya selepas mudah dijinakkan Jordan pada aksi pertama Selasa lalu.

Tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad menjelaskan, barisan pemain akan berusaha untuk mendapatkan jaringan awal yang mana ia mampu menaikkan moral keseluruhan skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 30 tahun itu menegaskan, Harimau Malaya berada di Qatar bukan hanya untuk memenuhi jadual, sebaliknya dahagakan sesuatu yang membanggakan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Betul, itu (dapatkan gol awal) mungkin satu perancangan yang kami inginkan. Jika dapat jaringkan gol awal, ia beri lebih semangat kepada pasukan.

“Kami memang harapkan sesuatu apabila menentang Bahrain dan kami tidak akan berputus asa.

“Semua pemain berada dalam keadaan yang baik. Kami percaya antara satu sama lain dan kami masih ingin berikan sesuatu untuk terus bertahan dalam pertandingan ini,” katanya seperti dilaporkan Flash Sukan.

Tampil 55 kaps bersama skuad Harimau Malaya sejak debut pertama pada 25 November 2015, Shahrul membayangkan penyertaan dirinya dalam pentas Piala Asia di Doha mungkin yang terakhir atas faktor usia.

“Saya merasakan mungkin tahun ini adalah tahun terakhir saya bermain untuk kempen Piala Asia. Kita tak tahu lagi pada tahun akan datang dan umur saya pun bertambah. Saya tak pasti lagi keadaan macam mana. Kami berharap, selagi kami mampu, akan buat terbaik dalam pasukan ini,” ujarnya.

Malaysia berada di kedudukan tercorot Kumpulan E, selepas tewas 4-0 ditangan Jordan pada Selasa lalu manakala Bahrain turut tewas 3-1 kepada Korea Selatan.

Korea Selatan akan menjadi lawan seterusnya pada pertemuan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari ini bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN