PETALING JAYA: Bajet kecil yang dimiliki Harimau Malaya berbanding pasukan lain dalam Kumpulan E Piala Asia 2023 tidak boleh dijadikan alasan kegagalan skuad negara di kejohanan itu.
Persediaan skuad negara bagi menghadapi kejohanan berkenaan juga dilihat serba lengkap termasuk anak-anak buah Kim Pan Gon menjadi antara pasukan terawal tiba di Doha, Qatar.
Pemerhati sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Harimau Malaya dilihat mempunyai bajet yang cukup untuk ke Piala Asia 2023 dan mereka juga tidak terpalit dengan isu kekurangan bajet.
Katanya, pasukan negara tiba di Qatar dua minggu awal untuk mengadakan sesi latihan sebagai langkah untuk menyesuaikan pasukan dengan persekitaran semasa dan itu menandakan tiada sebarang isu tentang bajet.
“Bercakap soal bajet kena lihat banyak aspek, saya lihat untuk Piala Asia 2023, kita mempunyai bajet yang cukup dan mampu siapkan pasukan dengan baik termasuk persediaan dan kelengkapan yang diperlukan.
“Kita berada di Qatar dua minggu awal, soal bajet ini tidak sepatutnya timbul dan tidak boleh dijadikan alasan gagal. Kalau perkara ini dibangkitkan sebelum kejohanan bermula itu betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai bajet keseluruhan bola sepak Malaysia, Pekan berkata, jika bergantung harap kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata, bajet untuk menguruskan pembangunan bola sepak di negara ini tidak akan cukup.
“Mana-mana pasukan kebangsaan pun mereka akan dibantu oleh kerajaan kerana tidak adil sekiranya mana-mana persatuan perlu cari dana sendiri kerana apabila berjaya, pastinya ia akan diraikan bersama,” katanya.
Dalam pada itu katanya, dana yang banyak tidak menjamin kejayaan sesebuah pasukan dan jika dibandingkan dengan Singapura, Malaysia ketinggalan dalam soal bajet, namun pasukan bola sepak negara lebih berjaya berbanding mereka.
“Apa yang penting ialah program pembangunan akar umbi yang bagus akan menjamin kejayaan pasukan dan memastikan kita mempunyai lapisan bakat yang berkualiti. Peruntukan atau dana perlu diberikan untuk program pembangunan ini,” katanya. – UTUSAN










