KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang mencipta sejarah baharu Liga Malaysia dengan menjadi kelab pertama meraih double quadruple sekiranya menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.
Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari mengakui ia menjadi antara impian skuad Harimau Selatan untuk membanggakan pengurusan kelab yang dipimpin Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penyokong mereka.

“Saya tak cipta sejarah, TMJ yang cipta sejarah buat JDT. Saya hanya berusaha untuk pastikan pasukan beraksi dengan lebih baik dan itu tanggungjawab saya.
“Saya gembira berada di final Piala Malaysia dan ini peluang terbaik untuk kami. Malah, ini juga final pertama saya di Stadium Nasional,” katanya.
Sekiranya kemenangan menjadi milik JDT, kelab itu akan memahat sejarah sebagai pasukan pertama memenangi empat piala (Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia) semusim buat kali kedua berturut-turut.
Malah, skuad Harimau Selatan juga akan menyamai rekod Kedah yang memenangi ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.
Dalam pada itu, Solari enggan memikirkan mengenai keadaan padang, sebaliknya menegaskan bahawa memberikan aksi terbaik dan memenangi perlawanan itu menjadi perkara paling utama buat Harimau Selatan.
Jurulatih dari Argentina itu berkata, apa yang sentiasa menjadi perkara positif dalam skuad JDT adalah mereka mempunyai motivasi terbaik kerana semua pemainnya miliki mentaliti untuk memenangi gelaran juara.
“Pasukan saya melakukan persiapan untuk bermain di mana-mana padang. Esok akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami bersedia walaupun dengan keadaan padang ketika ini.
“Kami melihatnya dari sudut positif yang mana tahun lalu rumput cowgrass dan sekarang rumput yang lebih baik, malangnya ketika ini bukan saat yang terbaik buat padang itu.
“Ia bukan tumpuan kami (terhadap padang), sekarang fokus kami kepada perlawanan dan bermain bola sepak terbaik kami untuk memenangi perlawananan,” katanya pada sidang media di SNBJ, semalam.
Padang Stadium Nasional yang baru selesai di naik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia tajaan Tunku Mahkota Johor(TMJ) menjadi isu hangat diperkatakan sebelum final Piala Malaysia apabila ia mengalami kerosakan dan belum berada di tahap sempurna. – UTUSAN










