PETALING JAYA: Selangor menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah Liga Super, meskipun bukan dalam perebutan trofi dipertandingkan namun cukup dengan memiliki penyerang terbaik.
Penyerang berbisa Red Giants, Ayron del Valle berjaya menewaskan dua pemain barisan depan JDT, Bergson dan Fernando Forestieri dalam perebutan kasut emas.
Penyerang kelahiran Columbia itu meledak 23 gol sepanjang saingan Liga Super musim ini mengatasi dua percabar terdekatnya Bergson yang mengumpul 21 gol serta Forestieri 19 gol.
Daripada 10 penjaring terbanyak Liga Super musim ini yang kali pertama mengharungi 26 perlawanan dan didominasi import, hanya dua pemain tempatan mampu berada dalam senarai berkenaan iaitu Arif Aiman Hanafi dan Faisal Halim dengan mengumpul 12 gol manakala seorang lagi adalah pemain naturalisasi negara Paulo Josue (11).
Bagi Tan Cheng Hoe, Ayron adalah penyerang yang sentiasa membantu pasukan dan memiliki sikap positif, malah tidak pernah menimbulkan masalah.
Jelasnya, bukan mudah untuk mana-mana penyerang import menjadi penjaring terbanyak pada musim pertamanya bersama pasukan.
“Sebelum sertai Selangor saya sudah boleh agak Ayron seorang penyerang berkualiti. Dia sentiasa komited dalam latihan dan perlawanan.
“Paling penting dia sentiasa bersikap positif serta cepat menyesuaikan diri dan bergaul dengan rakan sepasukan.
“Bukan senang pemain import pada tahun pertama dapat menjadi penjaring terbanyak. Kejayaan ini akan beri keyakinan kepada dirinya, pasukan dan peminat. Dia juga ketika bermain di Columbia dan Mexico adalah penjaring utama kepada pasukan diwakilinya,” kata Cheng Hoe ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam. – UTUSAN