RM2.36 juta diperlukan anjur Piala Dunia Sepak Takraw

RM2.36 juta diperlukan anjur Piala Dunia Sepak Takraw

SUMALI (tiga kanan) dan Abdul Halim (empat kanan) bergambar bersama selepas sidang akhbar bersempena Wacana Sepaktakraw di WTC Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memerlukan AS$500,000 (RM2.36 juta) untuk menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw yang telahpun ditetapkan tarikhnya pada 17-27 Mei tahun depan di Stadium Titiwangsa.

Sebanyak 20 buah negara telahpun mengesahkan penyertaan mereka dengan dua kategori iaitu lelaki dan wanita akan dipertandingkan pada kejuaraan berprestij tersebut.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menganjurkan Piala Dunia dengan peruntukan dianggarkan sekitar AS$500,000.

“Istaf tidak menyediakan geran untuk penganjuran Piala Dunia, sebaliknya, PSM akan bertanggungjawab soal bajet yang meliputi penyediaan venue, penginapan, pengangkutan dan makan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Sepak Takraw PSM bersama Istaf dan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) di sini, hari ini.

Turut hadir pada wacana tersebut yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) adalah Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat.

Menurut Abdul Halim, urusan mencari penajaan akan diserahkan sepenuhnya kepada PSM bagi mendapatkan sokongan daripada kerajaan dan juga sektor swasta.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan pula memberitahu, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia ialah pada 2011 yang menarik penyertaan 24 negara peserta.

“Selepas itu, kita tidak pernah lagi bergelar tuan rumah dan hanya menganjurkan Super Series, jadi, sudah tiba masanya untuk kembali menganjurkan Piala Dunia.
“Kita memang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah dan mengenai dana pula, kami dalam proses perbincangan bagi mendapatkan peruntukan dan penaja utama kejohanan,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan penganjuran Piala Dunia tersebut akan dilaksanakan dengan cara yang berhemah dan kos yang munasabah.

Mengulas mengenai acara yang bakal dipertandingkan untuk kedua-dua kategori lelaki dan wanita, Sumali menjelaskan, bagi pasukan lelaki sebanyak tiga acara akan diadakan iaitu regu, beregu dan quadrant, manakala, pasukan wanita melibatkan dua acara sama ada beregu dan quadrant atau regu dan beregu.

“KIta juga akan menimbangkan cadangan Istaf yang mahu kita menganjurkan acara regu campuran pada Piala Dunia itu, buat masa ini belum ada sebarang keputusan muktamad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya