Pengorbanan Abu Samah tidak ternilai dengan wang ringgit

Pengorbanan Abu Samah tidak ternilai dengan wang ringgit

ALLAHYARHAM ABU SAMAH ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemimpin sukan menyifatkan pemergian Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Allahyarham Datuk Abu Samah Abd. Wahab merupakan satu kehilangan tokoh tersohor sukan negara.

Mereka mengakui, Allahyarham yang memimpin PKBM selama 33 tahun sejak 1990 banyak menyumbang masa dan wang ringgit, semata-mata ingin melihat sukan lumba basikal menyumbang kejayaan mengharumkan nama negara.

Kejayaan paling manis apabila Allahyarham meyakinkan PKBM bagi menghadiahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 kepada Nur Aisyah Mohamad Zubir yang menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas itu.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ketokohan Abu Samah tidak perlu dipertikai kerana sepanjang mengemudi PKBM, banyak kejayaan diraih atlet berbasikal negara.

“Allahyarham banyak berjasa kepada sukan lumba basikal negara. Dia bukan sahaja memberikan tumpuan kepada PKBM tetapi mengeluarkan wangnya bagi memastikan kejayaan lumba basikal,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Jalan Semabok di sini, hari ini.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Abrar, Semabok kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Pengebumian dihadiri kira-kira 800 ahli keluarga, sanak-saudara, pemimpin sukan, atlet, penduduk dan orang ramai.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh berkata, pemergian Allahyarham menjadi satu kehilangan seorang tokoh sukan yang amat mengejutkan.

AMARJIT SINGH

Menurutnya, sepanjang memimpin PKBM, Abu Samah disanjung tinggi oleh badan induk dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

“Dia orang lama sangat disanjung tinggi di mata dunia. Saya anggap ini satu kehilangan tokoh terbilang kerana beliau banyak memainkan peranan penting dalam kemajuan sukan berbasikal negara.

“Pengorbanan yang dibuat oleh Abu Samah dalam sukan berbasikal negara tidak dapat dinilai dengan wang ringgit sepanjang tempoh 33 tahun memimpin PKBM,” katanya-UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.