Eain Yow, Sivasangari cemerlang mara ke final di Hong Kong

Eain Yow, Sivasangari terus rentak cemerlang mara ke final di Hong Kong

S. SIVASANGARI (depan) membalas pukulan yang dilakukan Sarah-Jane Perry sewaktu beraksi pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kelas Bola Sepak Hong Kong di Hong Kong, hari ini. - Ihsan HK Skuasy
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran, baik Ng Eain Yow mahupun S. Sivasangari, kedua-dua pemain utama negara itu mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong di Hong Kong, esok.

Sivasangari yang kini melonjak ke ranking ke-22 dunia terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang untuk mengejutkan pilihan kedua, Sarah-Jane Perry dari England 11-8, 11-9, 11-6 dalam masa 28 minit pada separuh akhir, semalam.

Kemenangan ke atas pemain No. 12 dunia itu telah membuka ruang kepada Sivasangari merapatkan rekod pertemuan mereka berdua kepada 1-4.

Malah, apa yang lebih manis lagi kejayaan tersebut diukir anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu selepas dia tewas di tangan Perry pada suku akhir Terbuka Singapura, minggu lalu.
Sivasangari yang diletakkan selaku pilihan ketujuh melahirkan rasa gembiranya berjaya muncul sebagai pemenang pada separuh akhir tersebut.

“Saya berasa sedikit pelik berada di dalam gelanggang, hari ini, kerana dalam set pertama dan kedua saya memulakan aksi dengan sangat perlahan yang mana ia bukan kebiasaan saya.

“Saya ketinggalan 8-3 pada set pertama dan 8-1 dalam set kedua, tetapi, saya bagi tahu kepada diri saya kena kekal positif dan fokus kembali kepada mata demi mata.

“Permainan saya tidak kemas pada awal kedua-dua set, tetapi, saya cuba melajukan langkah saya dan berusaha mencari jalan untuk terus mara,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir, hari ini.

Berusaha mengurangkan kesilapan, pemain berusia 24 tahun itu akhirnya mampu menarik nafas lega dengan cara dia melakukan kebangkitan.

Pada final, esok, Sivasangari bakal berdepan naib juara remaja dunia dari Mesir, Amina Orfi yang mencipta kejutan ke atas bintang England yang menghuni ranking No. 6 dunia, Georgina Kennedy menerusi kemenangan lima set 11-4, 8-11, 5-11, 11-6, 11-8 dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam.

Sementara itu, pemain No. 21 dunia, Eain Yow mengejutkan pilihan pertama, Mohamed Elsherbini dari Mesir 11-9, 11-5, 11-4 dalam masa 36 minit.

NG EAIN YOW mempamerkan aksi berdisiplin sewaktu menundukkan pilihan pertama, Mohamed Elsherbini pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong di Hong Kong, hari ini. – Ihsan PSA World Tour

“Perlawanan ini sukar, walaupun keputusan tidak menunjukkan gambaran sebenar, ia menuntut disiplin yang tinggi dalam set pertama dan saya perlu kekalkan perancangan yang telah diatur dan tidak terlalu gembira.

“Saya perlu menggunakan kekuatan saya untuk memukul bola ke depan dan selepas beberapa kesilapan, persembahan saya semakin seimbang untuk menyempurnakan hantaran yang sukar sebelum melakukan beberapa pukulan,” ujarnya yang tidak pernah bertemu pemain No. 16 dunia itu sebelum ini.

Kali pertama mara ke final pada kejohanan berstatus ‘Gangsa’ itu, Eain Yow berkata, dia sedar dirinya mampu untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir dengan kualiti yang dimilikinya dan dia kini hanya perlu meningkatkan keyakinan dirinya.

Menanti pemain berusia 25 tahun itu pada final sama ada Aly Abou Eleinen dari Mesir atau pemain Sepanyol, Iker Pajares. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya