PETALING JAYA: Atlet terjun meningkat naik, Bertrand Rhodict Lises terlepas peluang untuk menambah pingat emas di hari terakhir Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Bertrand yang menjadi atlet terjun negara pertama layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 beraksi di tahap sebenar apabila melakukan kesilapan di terjunan kedua dan kelima dalam acara 10 meter (m) platform individu lelaki, sekaligus akur menamatkan saingan ini di tempat ketiga dengan catatan 366.35 mata.
Lebih mengejutkan, Bertrand tewas kepada rakan sepasukan, Jellson Jabillin yang meraih pingat perak dengan catatan 406.00 mata biarpun beraksi dalam keadaan demam.
Pingat emas milik peserta Uzbekistan, Igor Myalin yan mengumpul 428.55 mata.
“Saya sepatutnya dapat melakukan terjunan yang lebih baik daripada hari ini, tetapi perkara pun sudah berlalu, saya anggap ini sebagai satu pengajaran.
“Kami baru sahaja balik dari Sukan Asia, dan kemudian berehat panjang, jadi keputusan seperti ini sudah dapat dijangka,” kata Betrand.
Terdahulu, Bertrand telah pun meraih satu pingat emas semalam dalam acara 10m platform seirama bersama Enrique MacCartney Harold.
Sementara itu, bagi acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran pula menyaksikan meraih pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 262.8 mata,

Gandingan skuad kebangsaan ini menewaskan pasangan Sarawak, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Soh Tze Kang yang memungut 213.06 mata manakala pingat gangsa menjadi milik pasangan dari Kuala Lumpur, Choo Jin Wei-Ameera Irdina Mazwan dengan 183.6 mata.
“Keputusan ini, walaupun tak ramai penyertaan bagi kami ia sangat baik. Perjalanan kami masih lagi jauh. Ini kali pertama kami berdua bergandingan untuk menyertai kejohanan. Kami hanya berlatih dalam dua hingga ke tiga hari,” jelas Wendy.
Secara keseluruhan, kem negara telah menuai lima emas, tiga pingat perak dan tiga pingat gangsa sepanjang tiga hari saingan yang bermula sejak Sabtu lalu.