MANCHESTER: Manchester United melancarkan siasatan mengapa skuad pasukan utama mereka mengalami banyak kecederaan.
Dengan musim Liga Perdana Inggeris baru memasuki lapan perlawanan, tidak kurang daripada 16 pemain telah cedera atau tidak tersedia untuk pengurus, Erik ten Hag setakat ini.
Situasi tersebut menyebabkan jurulatih dari Belanda itu tidak dapat memilih kesebelasan pilihan pertamanya musim ini, dengan pemain baharu, Rasmus Hojlund dan Mason Mount antara mereka yang terjejas.
Masalah itu juga punca Red Devils memulakan musim dengan kurang memberangsangkan, dan menghuni tangga ke-10 liga.
Akhbar Britain, Daily Mail difahamkan pegawai dari jabatan perubatan pasukan sedang giat mengenal pasti sama ada sebarang corak wujud.
Sekiranya itu berlaku, mereka kemudian cuba mencari jalan untuk meningkatkan pencegahan kecederaan pada masa hadapan.
United telah mengukuhkan jabatan perubatan mereka, mengambil Gary O’Driscoll dari Arsenal sebagai ketua perubatan sukan.
United bermain 41 perlawanan antara 21 Disember dan penghujung musim lalu, jumlah yang sama seperti Aston Villa, Brentford dan Brighton bermain sepanjang kempen. – AGENSI