MANCHESTER: Manchester United merancang untuk membuat pusingan U dengan merayu kepada penjaga gol yang telah ‘dibuang’, David de Gea untuk kembali menerusi perjanjian jangka pendek.
Kelab itu bimbang mereka akan kekurangan penjaga gol apabila Andre Onana, pemain yang mengambil alih tempat De Gea menyertai Cameroon dalam Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Januari tahun depan.
Afcon akan berlangsung dari 13 Januari hingga 11 Februari, itu bermakna Onana, 27, pemain yang dibeli daripada Inter Milan pada harga 43.8 juta pound (RM253.20 juta) boleh terlepas sehingga lapan perlawanan.
Kapten United, Bruno Fernandes dilaporkan baru bertemu De Gea untuk menyatakan kekesalannya terhadap cara penjaga gol itu dilayan.
Dea Gea, 32, telah menghabiskan 12 tahun di Old Trafford sebelum meninggalkan kelab apabila kontraknya tamat. Sejak itu, dia tidak bermain untuk mana-mana pasukan.

Penjaga gol Sepanyol itu ditawarkan penyambungan kontrak dengan pemotongan gaji daripada 375,000 pound (RM2.16 juta) kepada 200,000 pound (RM1.15 juta) seminggu.
Dia bersetuju dengan kontrak baharu itu, namun pengurus pasukan, Erik ten Hag kemudian menukar fikiran dengan membatalkan tawaran tersebut.
Sudahlah tidak menawarkan kontrak baharu, United kemudian meminta De Gea tidak menyertai kelab lain sehingga perpindahan Onana diselesaikan.
Ia dilihat sebagai layanan buruk untuk penjaga gol paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab, apatah lagi De Gea juga baru sahaja memenangi anugerah Sarung Tangan Emas selaku penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris. – AGENSI