NYON, Switzerland: United Kingdom (England, Scotland, Wales) dan Ireland (Ireland Utara, Republik Ireland) akan menjadi tuan rumah Euro 2028, umum badan bola sepak Eropah, UEFA hari ini.
Itali dan Turkiye pula akan menjadi tuan rumah bersama untuk edisi 2032.
Pemilihan United Kingdom (UK) dan Ireland dilakukan selepas Turkiye menarik diri daripada bidaan bagi memberi tumpuan kepada penganjuran bersama Itali.
“UK dan Ireland berterima kasih kepada UEFA atas keyakinan mereka memberikan Euro 2028 kepada lima persatuan, dan tahniah kepada Itali serta Turkiye di atas pemilihan mereka untuk UEFA Euro 2032,” kata UK dan Ireland dalam satu kenyataan bersama.
Turkiye sebelum ini gagal dalam semua bidaan untuk menganjurkan Kejohanan Eropah itu sejak tahun 2008, dan kemudian menjadi calon untuk edisi 2028 serta 2032.
Bagaimanapun Julai lalu Turkiye bersetuju menyertai Itali untuk membida Euro 2032.
Enam stadium Euro 2028 dicadangkan di England, dengan dua di London dan lain-lainnya di Manchester, Liverpool, Newcastle dan Birmingham.
Belfast, Dublin, Glasgow dan Cardiff juga akan menjadi venue pertandingan.
Euro 2020 diadakan di 11 buah negara iaitu England, Itali, Azerbaijan, Denmark, Jerman,
Hungary, Belanda, Romania, Russia, Scotland dan Sepanyol.
Perlawanan akhir berlangsung di Wembley, London yang menyaksikan England kalah kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti.
Euro 2024 akan berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai. – AGENSI