PETALING JAYA: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Dream menepati ramalan mara ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Supermokh kategori bawah 13 tahun selepas menewaskan wakil China, Evergrande Football School 2-0 dalam separuh akhir di AMD, Gambang, Pahang hari ini.
Kemenangan itu akan menemukan skuad muda negara dengan pasukan dari Slovakia, Lech Poznan FC yang mara selepas membedil Zhejiang Professional FC 5-1 dalam satu lagi separuh akhir.
Skuad bimbingan Azmi Arifin itu kini mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut, namun berdepan Poznan dalam perlawanan akhir esok bukan tugas mudah.
“Syukur Alhamdulillah, pemain kami beraksi dengan baik. Bukan senang mahu menewaskan pasukan yang berpengkalan dari China ini dan pemain saya berjaya melakukannya.
“Ini adalah kejayaan bersama dan lebih banyak lagi kerja perlu dilakukan bagi menghadapi aksi di pentas final esok,” kata Azmi selepas perlawanan.
AMD Dream terpaksa menunggu minit ke-36 untuk berada di hadapan menerusi jaringan Muhammad Haziq Zamin sebelum Muhammad Harraz Ajwad meledak gol kedua, enam minit kemudian untuk membawa skuad itu ke pentas akhir.

Sementara itu bagi kategori bawah 14 tahun, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) turut mengesahkan slot ke final apabila menewaskan AMD Dream 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Satu lagi slot final kategori itu menjadi milik juara bertahan, Buriram United selepas tidak berdepan masalah membenam cabaran Shonan Bellmare 3-0.
Dalam saingan bawah 12 tahun, Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Zhejiang Professional FC 2-1 untuk menempah pertemuan akhir dengan pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A yang menewaskan NFDP B 3-1 . – UTUSAN