Pertembungan Chelsea-Arsenal sengit, banyak gol akan terhasil

Pertembungan Chelsea-Arsenal sengit, banyak gol akan terhasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: William Gallas menjangkakan pertembungan antara dua bekas kelabnya, Chelsea dan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini (12.30 pagi esok waktu Malaysia) bakal menghasilkan banyak gol.

Gallas yang beraksi buat Chelsea pada 2001 hingga 2006 sebelum menyertai Arsenal (2006-2010) menjangkakan kedua-dua kelab London itu akan bermain secara terbuka, menyerang satu sama lain, sekali gus menjanji­kan permainan menarik di Stamford Bridge.

Arsenal sedang mengharungi kempen yang baik dengan kekal tanpa kalah musim ini untuk ­berada di kedudukan kedua liga, sembilan mata mengatasi Chelsea yang sudah mengalami tiga kekalahan dan berada di tangga ke-11.

Begitupun Chelsea mempamer peningkatan sejak akhir-akhir ini dengan memenangi tiga perlawanan terakhir (semua pertandingan), termasuk membenam Burnley 4-1 dalam aksi terakhir liga, 7 Oktober lalu.

https://x.com/Arsenal/status/1715313084640731607?s=20

“Saya dapat melihat gol yang banyak dalam perlawanan ­antara Chelsea dan Arsenal.

“Corak permainan Blues (Chelsea) jauh berbeza dengan Manchester City (pasukan yang dikalahkan Arsenal 1-0 dalam aksi terakhir mereka).

“Chelsea juga turun dengan motivasi berbeza. Mereka sudah keciciran banyak mata di awal musim, jadi mereka terdesak untuk mencari mata dan akan menyerang Arsenal habis-habisan bagi mencari kemenangan.

“Arsenal juga pasukan yang gemar menyerang seperti yang boleh kita lihat ketika menentang Manchester City, jadi saya fikirkan perlawanan ini akan menjadi terbuka dan pasti menghasilkan gol,” katanya yang menjangkakan perlawanan akhir berakhir 2-2.

Arsenal berdepan isu kece­deraan yang lebih membimbangkan berbanding Chelsea dengan pemain sayap, Bukayo Sako masih diragui untuk ­diturunkan, begitu juga Leandro Trossard (penyerang) serta William Saliba (pertahanan).

Begitupun Sako dan Saliba tetap disenaraikan oleh pengurus Gunners, Mikel Arteta, malah tidak mustahil berada dalam kesebelasan utama jika cergas sebelum perlawanan.

Pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino pula mempunyai beberapa keputusan penting untuk diambil, sama ada mahu menurunkan pemain terbaik mereka, Reece James yang belum cergas sepenuhnya atau Christopher Nkunku di bek kanan.

Enzo Fernandez mampu membentuk kombinasi efektif bersama Moises Caicedo.

Begitupun Pochettino masih berkira-kira apakah mahu me­nurunkan bintang tengah Argentina itu kerana dia baru tiba selepas mengharungi perjalanan jauh membantu negaranya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Tidak disangkal lagi, Conor Gallagher adalah pemain tengah terbaik yang dimiliki Chelsea ketika ini, justeru bintang England itu antara yang hampir pasti berada dalam kesebelasan utama Blues. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN