Lens hadiahkan kekalahan pertama kepada Arsenal

Lens hadiahkan kekalahan pertama kepada Arsenal

Elye Wahi meraikan jaringannya ketika membantu Lens menumpaskan Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENS: Arsenal mengalami kekalahan pertama musim ini apabila Lens bangkit untuk menang 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

The Gunners bermula baik apabila mendahului permainan seawal minit ke-14 menerusi penyudah tajam Gabriel Jesus, sekali gus membuatkan penonton di Stade Bollaert terdiam.

Begitupun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila sepakan lencong Adrien Thomasson menyamakan kedudukan buat naib juara Ligue 1, Lens pada minit ke-25.

Keadaan kemudian menjadi bertambah buruk buat Arsenal apabila terpaksa mengeluarkan Bukayo Saka akibat kecederaan sebelum tamat babak pertama.

Penyerang berusia 20 tahun, Elye Wahi melengkapkan kebangkitan Lens dengan meledak gol cantik pada minit ke-69.

GABRIEL Jesus membuka jaringan Arsenal pada minit ke-14. – ARSENAL FC

“Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami.

“Mengalahkan Arsenal pastinya antara detik yang memberi kenangan hebat buat saya di Lens,” kata pengurus Lens, Franck Haise, yang membimbing kelab itu dalam divisyen dua pada 2020.

Keputusan itu meletakkan Lens di tangga teratas Kumpulan B dengan empat mata, satu mata mengatasi Arsenal.

Sementara itu bagi pengurus Arsenal, Mikel Arteta, selain kekalahan pertama yang dialami Gunners musim ini, kecederaan Saka turun meresahkannya.

“Dia cuba menolak bola menggunakan tumit pada babak pertama dan merasa sesuatu tidak kena dengan ototnya. Dia tidak selesa untuk bermain, jadi terpaksa dikeluarkan,” kata jurulatih kelahiran Sepanyol itu.

Terdahulu, perjalanan Arsenal ke Perancis terjejas apabila penerbangan dari London tertunda lima jam pada Isnin akibat cuaca buruk.

Begitupun Arteta menegaskan, perkara tersebut bukan alasan kekalahan mereka.

“Pertama sekali, tahniah kepada Lens. Saya fikir mereka pasukan yang bagus dan dilatih dengan baik. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” katanya.

Pada ketika Arsenal kembali ke kempen Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas enam musim, Lens pula beraksi pada saingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya